Tiada Jaminan PKR Kekal Teraju Selangor Jika PRN Diadakan – Azmin

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan pilihan raya negeri belum tentu menjamin kerajaan negeri ketika ini yang dibentuk pakatan PKR, DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) terus menerajui Selangor.

 

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata ada banyak lagi isu antara sekutu dalam pakatan berkenaan yang masih belum diselesaikan.

 

“Apa yang menyebabkan anda fikir kami boleh kekalkan kedudukan di negeri ini pada masa sekarang? Sudahkah kami selesaikan isu pertembungan tiga penjuru? Sudahkah kami capai persefahaman sesama parti? Saya rasa kami perlu menetapkan apa yang lebih penting.

 

“Fokus sepatutnya adalah untuk menggerakkan tenaga dan sumber yang ada bagi memprotes cadangan persempadanan semula (kawasan pilihan raya) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, Bait Al-Mawaddah, di sini hari ini.

 

Mohamed Azmin berkata, semua parti hanya mempunyai tempoh 30 hari dari 15 September lalu untuk memberi cadangan atau mengemukakan bantahan terhadap syor persempadanan semula kawasan pilihan raya, selain merangka tindakan lain yang perlu diambil selepas tempoh berkenaan tamat.

 

Bagi Selangor, beliau berkata, peguam yang dilantik akan membincangkan perkara berkenaan dalam satu pertemuan jam 3 petang ini.

 

“Pilihan raya negeri tidak akan diadakan di Selangor. Ia diputuskan bukan oleh Azmin Ali tetapi barisan EXCO dua minggu lalu,” katanya.

 

Minggu lalu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan pilihan raya negeri mengejut dibuat di Selangor atas alasan kononnya cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bakal menjejaskan sokongan pengundi terhadap pakatan pembangkang di negeri ini.

 

Ditanya adakah PKR masih cuba memenangi hati PAS untuk bersetuju dengan prinsip satu lawan satu pada pilihan raya nanti, Mohamed Azmin berkata apa yang penting ketika ini adalah semua kepemimpinan tertinggi setiap parti dalam pakatan mengadakan perbincangan.

 

“Kami perlu berbincang, perlukan lebih masa. Kebanyakan pemimpin tertinggi semua parti pembangkang menyatakan mereka memerlukan lebih masa untuk membincangkan mengenai prinsip satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.