Mangsa Trauma Selepas Video Kena Bogel, Belasah Di Hotel Viral

KOTA BHARU – “Dia sudah cederakan dan aibkan anak saya tanpa belas kasihan. Hingga kini anak saya trauma,” kata ibu kepada seorang mangsa yang bukan sahaja dibogelkan dan dipukul, malah video insiden diviralkan di laman sosial sejak kelmarin.

 

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ani, 50, berkata anak ketiganya daripada enam beradik itu pulang ke rumah pada jam 3 petang dalam keadaan cedera dan menangis.

 

Bagaimanapun, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nora, 26, memberitahu ibunya bahawa dia cuma terlibat dengan kemalangan di Rantau Panjang.

 

“Tidak tahu pula kecederaan itu disebabkan insiden ini. Saya memang terkejut apabila dapat tahu keadaan sebaliknya yang berlaku, malah dia dipukul dengan dua botol minuman kaca dan dibogelkan.

 

“Sebagai ibu yang melahirkannya, sudah tentu saya tidak sanggup untuk melihat dia dimalukan sedemikian rupa oleh pelaku itu tanpa belas kasihan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

 

Ani juga menafikan Nora menjalinkan hubungan terlarang dengan suami si pelaku sebaliknya hanya wujud salah faham.

 

Dua video mangsa dipukul dan dibogelkan seorang wanita tersebar di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp dipercayai dirakam di sebuah hotel di Sungai Golok, Rabu lalu.

 

Susulan kejadian itu, Nora cedera dibahagian kepala dan menerima lapan jahitan di dahi, bengkak di kepala serta lebam di badan.

 

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut.

 

Satu laporan dibuat di Balai Polis Kubang Kerian manakala satu lagi dibuat di Balai Polis Kota Baru selepas dia mendakwa didatangi tiga wanita dan seorang lelaki yang menuduhnya menyebarkan video berkenaan.

 

“Susulan itu, kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan tanpa menggunakan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

 

“Siasatan juga mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman penjara setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.