Artis Laku Jenayah Kerana Tiada Tajaan Syarikat Rokok – Radhi OAG

KUALA LUMPUR — Pengharaman syarikat rokok menaja aktiviti seni artis tanah air hanya membuka jalan kepada mereka melakukan jenayah, dakwa Radhi, vokalis kumpulan OAG.

 

Mohd Radhi Razali berkata, berbeza seperti waktu dahulu apabila syarikat rokok dibenar menaja konsert besar dan artis lebih banyak peluang untuk membuat persembahan.

 

“Di Indonesia ada tajaan rokok. Kita tak ada. Bukan nak kata rokok itu satu benda yang bagus tetapi ia membantu industri muzik. Muzik kita dengan Indonesia pun tak jauh beza.

 

“Zaman dulu bila kita ada tajaan rokok dan bila album artis keluar, mereka akan adakan siri jelajah tetapi sekarang buat album pun tak guna sebab tak boleh nak promosi.

 

“Ada juga syarikat korporat yang nak taja tapi tak banyak. Penajaan syarikat telekomunikasi boleh kira dengan jari. Rokok boleh bantu tetapi mereka tak dibenarkan bantu. Memang kesian,” katanya kepada ProjekMMO.

 

Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 melarang iklan rokok dipamer di majalah, akhbar atau pun filem dan sesiapa melanggar peraturan itu boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

 

Sebelum 2000, syarikat pengeluar rokok rancak dalam penajaan aktiviti sukan dan hiburan tanah air dengan logo produk mereka terpampang di media cetak dan elektronik.

 

Pada waktu itu juga, sekotak rokok masih berada di bawah RM3 dan cukai yang dikenakan masih berada pada tahap rendah.

 

Radhi, 39, berkata disebabkan syarikat rokok dihalang menaja aktiviti seni artis tempatan maka mereka terdedah untuk melakukan jenayah.

 

“Maka mulalah terjadinya kejadian jenayah yang dilakukan oleh artis sebab tiada tawaran kerja dengan merompak, mencuri dan menipu.

 

“Zaman tajaan rokok dulu mana ada artis buat jenayah. Sebab rokok diharam, artis tak ada kerja. Dulu rokok bagi duit. Ada kerja.

 

“Bukan saya setuju rokok bagus untuk kesihatan, tidak. Mereka yang ada duit. Kesian artis kita, miskin. Nampak saja macam okay,” katanya yang tidak mendedahkan kes dan siapa artis yang melakukan jenayah itu. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.