Kerana ‘Girlfriend Kontrak’ Nur Risteena Sanggup Jatuh Atas Tahi Lembu

Kuala Lumpur – Pelakon Nur Risteena tidak gusar mengenai beberapa babak intim bersama Keith Foo menerusi filem terbaharu Girlfriend Kontrak kerana menyifatkan lakonan mereka dalam karya arahan Virginia Kennedy itu tidak berlebih-lebihan.

 

Menurut Risteena, meskipun pengarah filem yang akan ditayangkan mulai 24 September ini seorang yang bukan berbangsa Melayu, wanita berkenaan masih menghormati budaya tempatan.

 

“Ada beberapa adegan intim saya dengan Keith tetapi tidak melampaui batas dan berlebih-lebih. Jadi, saya tidak risau tambahan sebab saya tahu batasan dalam industri kita serta saya pun perlu jaga nama baik keluarga saya.

 

“Lagipun sejak awal lagi Virginia sudah diberitahu megenai sensitiviti masyarakat. Sampaikan ada ketikanya, dia sendiri bertanya dahulu pada saya, sama ada saya boleh atau tidak sentuh Keith,” tutur Risteena ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Girlfriend Kontrak di Damansara, Selangor, baru-baru ini.

 

Risteena berkata demikan sekaligus mengulas filem terbitan Grand Brilliant Sdn Bhd itu dikatakan diinspirasi dari adaptasi novel dan filem romantik-erotik Hollywood, 50 Shades of Grey.

 

Girlfriend Kontrak mengisahkan tentang seorang gadis, Alisa, mempunyai misi menyelamatkan kelip-kelip kesayangannya daripada dimusnahkan oleh syarikat gergasi milik seorang jutawan playboy, Umar.

 

Namun, Umar telah mengambil Alisa berkerja dengannya sebagai menangani kontroversi projek pembanggunan miliknya.

 

Sementara itu, diajak berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran yang dijalankan sekitar awal tahun lalu, Risteena berkata, babak dia terjatuh di atas najis lembu antara babak yang paling mencabar.

 

Walaupun berat hati untuk melakukannya tetapi dia tetap memberikan lakonan yang terbaik.

 

Katanya, paling menyeksakan apabila sepanjang hari badannya berbau sehinggakan dia sendiri tiada selera makan.

 

Malah, akibat terlalu lama badannya berlumuran najis tersebut, dia mengalami ruam dan gatal-gatal terutama di bahagian tangan.

 

“Babak saya terjatuh dalam tahi lembu, itu antara yang mencabar. Sepanjang hari tu saya tidak selesa, badan saya berbau dan disebabkan itu saya langsung tiada selera makan.

 

“Kulit saya sangat sensitif. Akibat mungkin terlalu lama diselaputi kotoran, tangan saya naik ruam dan gatal-gatal. Seminggu baru ruam tersebut hilang.

 

“Bagi saya, inilah pergorbannan seorang pelakon dan bukan senang sebenarnya mahu jadi pelakon. Apabila saya lihat semula hasilnya, saya berpuas hati dan itu yang terbaik yang saya boleh berikan,” katanya.

 

Dalam pada itu Risteena mengakui awalnya dia berasa gementar kerana dikelilingi barisan pelakon senior antara Mustafa Kamal, Azad Jazmin dan Fara Fauzana yang turut menjayakan filem tersebut.

 

Sedangkan, ketika itu dia masih baru dalam industri lakonan dan pertama kali diberi pula tanggungjawab sebagai heroin.

 

“Mulanya saya rasa segan kerana saya bergandingan dengan pelakon hebat. Siapalah saya nak berlakon dengan mereka tetapi apabila di set, mereka tidak anggap saya budak baru sebaliknya mereka layan antara satu sama seperti keluarga,” katanya.

 

Perkembangan lain, Risteena bakal muncul mrenerusi drama episod berjudul Ala Bib yang ditayangkan menerusi slot Lestari di TV3 mulai 4 Oktober depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.