Aliran Trafik Di Lebuh Raya Utama Semakin Perlahan

Kuala Lumpur – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan perlahan setakat 11 pagi ini berikutan orang ramai mulai pulang daripada cuti bersempena sambutan Aidiladha.

 

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata, trafik sibuk di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara mulai Permatang Pauh menuju Prai, Changkat Jering ke Bukit Berapi, Kuala Kangsar ke Terowong Menora, Ipoh ke Gopeng dan Tapah ke Sungkai.

 

“Namun bagi arah selatan pula, aliran trafik menuju ke ibu negara masih lagi lancar dan tiada kemalangan dilaporkan,” katanya dipetik Bernama.

 

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pertambahan kenderaan menyebabkan aliran trafik perlahan sebelum dan selepas Plaza Tol Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur 2 serta dari Plaza Tol Bentong menuju ke Bukit Tinggi.

 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.