Perigi Disangka Terowong Al-Qassam

Kuala Lumpur – Sebuah perigi untuk mengairi projek pertanian di utara Gaza yang dibiayai rakyat Malaysia, mengalami kerosakan teruk akibat tindakan tentera Zionis ketika perang selama 51 hari, baru-baru ini.

Menurut berita yang dikongsi di Facebook Aman Palestin, tiga buah perigi yang dilengkapi motor itu, dibina untuk mengepam air 90 meter di bawah tanah bagi mengairi projek pertanian.

“Dalam Misi Solidariti Gaza yang disertai kira-kira 120 sukarelawan dari Malaysia, rombongan telah dibawa melawat dan menyaksikan upacara perasmian kawasan pertanian ini.

“Ketika berlakunya Perang Asfil Ma’kul selama 51 hari baru-baru ini, kawasan ini menjadi kawasan berbahaya bagi rakyat Palestin, kerana tentera Zionis bersama kereta kebal mereka telah berjaga di kawasan ini.

“Mereka menyangka perigi ini adalah sebahagian daripada kelengkapan ketenteraan Al-Qassam.

“Sebuah jentera besar telah dibawa dan selama tiga hari berturut-turut, mereka telah menggali perigi ini, kerana menyangka ia adalah salah satu ‘pintu masuk’ ke terowong ketenteraan Al-Qassam,” demikian menurut laporan Aman Palestin.

Tiga hari selepas itu, pegawai risikan tentera Zionis mengarahkan ‘operasi penting’ dihentikan, ketika itu baru mereka mendapati ia hanya sebuah perigi untuk pengairan.

Lubang yang ditinggalkan itu amat besar, dengan kedalaman mencecah 90 meter.

Sebuah kereta kebal tentera Zionis turut tergelincir dan tersangkut di pintu lubang, sehingga menyebabkan mereka terpaksa menggunakan jentera besar lain untuk menariknya keluar.

Namun, kekejaman tentera Zionis tidak berakhir di situ.

Sebelum meninggalkan kawasan berkenaan, mereka merosakkan jalan berturap sepanjang tiga kilometer yang dibina menggunakan dana Aman Palestin, hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Tentera Zionis turut merosakkan semua tanaman, sehingga menyebabkan kawasan berkenaan bagaikan padang jarak padang tekukur.

“Aman Palestin dengan kerjasama Kementerian Pertanian Palestin di Gaza akan kembali membangunkan kawasan pertanian ini yang merupakan sumber pendapatan petani dan bekalan makanan rakyat Gaza,” kata kenyataan itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.