Pemimpin Bersatu Dakwa PKR Cuba Rampas Jawatan MB Kedah Dari Mukhriz

Timbalan Pengerusi BERSATU Kedah Anuar Abdul Hamid mempersoalkan sama ada PKR sedang merancang komplot merampas kedudukan menteri besar negeri itu daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul bahawa beliau boleh melakukan perkara yang hebat di Kedah jika Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi parlimennya untuk kembali ke Parlimen.

Johari yang juga ADUN Gurun berkata langkah itu akan membuka jalan untuknya menjadi menteri besar Kedah.

“Saya tafsir kenyataannya seperti berikut – jika Anwar jadi perdana menteri, maka akan berlaku rombakan menteri besar dan exco dalam Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Kedah.

“Johari selaku anggota parlimen Sungai Petani yang menawarkan kerusinya kapada Anwar akan diberi imbuhan dengan menjadikannya sebagai menteri besar Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar mengingatkan Johari tentang perjanjian antara parti komponen HARAPAN sebelum PRU ke-14 iaitu BERSATU akan mengetuai pentadbiran di Kedah, Perlis, Perak dan Johor manakala PKR di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Katanya lagi, perjanjian itu juga menyatakan DAP sebagai ketua di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak manakala AMANAH di Kelantan, Terengganu dan Melaka.

“Perjanjian ini telah termeterai. Kenapa dengan tiba-tiba beliau mahu merampas kerusi menteri besar Kedah daripada BERSATU?” soalnya.

Beliau juga menjawab dakwaan Johari bahawa negeri itu tidak ditadbir dengan baik dengan berkata Mukhriz telah membuat rancangan rapi untuk membangunkan negeri itu sejak kali pertama menjadi menteri besar pada 2013.

“Malangnya beliau dipecat selepas dua tahun. Sekarang beliau terpaksa menghidupkan semula rancangan untuk membangunkan Kedah daripada awal, dengan pelbagai masalah dan cabaran yang perlu dihadapi,” katanya lagi.

Mukhriz – timbalan pengerusi BERSATU merangkap pengerusi BERSATU negeri – mengetuai HARAPAN untuk merampas negeri itu daripada BN pada PRU lalu, dan kemudiannya mengangkat sumpah sekali lagi sebagai menteri besar.

Anuar juga menggesa Johari agar tidak mengambil kesempatan atas pelantikan Anwar sebagai perdana menteri kelapan nanti untuk kepentingan peribadi.

“Saya ingin menasihati sahabat lama yang saya hormati, hentikan polemik ini terutama semasa pemilihan PKR. Ia tidak akan menguntungkan HARAPAN,” katanya lagi. – Malaysiakini

One thought on “Pemimpin Bersatu Dakwa PKR Cuba Rampas Jawatan MB Kedah Dari Mukhriz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.