Jangan Khianat Rakyat, Ahli Parlimen PKR Mahu Kerajaan PH Kekalkan Bantuan BR1M

GEORGETOWN – Selepas mencetuskan kontroversi kerana mendakwa Tun Dr Mahathir cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani semalam mahu Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan.

Abdullah berkata, keputusan kerajaan yang mahu mengurangkan seterusnya memansuhkan BR1M, adalah satu pengkhianatan kepada rakyat yang memilih mandat baharu pada pilihan raya lalu.

“Kita tidak boleh khianat manifesto kerana ini adalah janji kita kepada rakyat.

“Kalau nak mansuhkan juga, kos sara hidup seperti minyak dan sebagainya harus turun, baru seimbang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu, Abdullah yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR menyampaikan ucapan pada Majlis Reformasi 20 Tahun Pulau Pinang.

Dr Mahathir dalam kenyataannya kelmarin dilaporkan berkata, BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, beliau akan menentang pemansuhan BR1M dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan menindas rakyat.

Ditanya adakah kritikan berkenaan ditujukan kepada pemimpin tertentu, katanya, beliau menentang sesiapa yang bersetuju dengan pemansuhan BR1M.

“Sesiapa yang bersetuju (dengan cadangan mansuh BR1M), itu yang saya tujukan. Tidak kira saiz atau pangkat mereka,” katanya.

Abdullah sebelum ini mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mendalangi konspirasi untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri dan mendapat kerjasama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun memohon maaf secara terbuka dan menghantar surat kepada Dr Mahathir pada minggu lalu. – BH

One thought on “Jangan Khianat Rakyat, Ahli Parlimen PKR Mahu Kerajaan PH Kekalkan Bantuan BR1M

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.