Aishah Mahu Datuk Vida Ganti Hadiah Dengan Wang Tunai atau Emas 999

KUALA LUMPUR – Penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah, 52, tidak kisah jika loket yang dihadiahkan kepadanya oleh Datuk Seri Vida sempena kemenangan menerusi program Gegar Vaganza 4 (GV4) tahun lalu diganti dengan ganjaran lain.

Bagaimanapun, Aishah berharap agar hadiah gantian tersebut mempunyai nilai yang setimpal dengan harga loket yang didakwa bernilai RM80,000 itu.

“Kalau boleh, gantikan dengan wang tunai atau emas 999 yang setimpal dengan nilai awal loket berkenaan.

“Saya bukan tidak mahu menerima bitcoin seperti yang dicadangkan oleh Datuk Vida. Cuma saya tidak percaya dan kurang faham dengan sistem dagangan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Aishah menerusi akaun Instagramnya mendakwa loket pemberian Vida atas kemenangannya pada GV4 tidak mempunyai nilai kerana diperbuat daripada kubik zirconia dan batu sintetik.

Vida kemudiannya membalas kenyataan berkenaan dengan menawarkan Lavinda Coin, jenama mata wang kripto alam maya sebagai ganti. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.