Adik Perempuan Lim Guan Eng Angkat Sumpah Senator

ADIK kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Lim Hui Ying, antara 12 orang mengangkat sumpah sebagai senator baharu di Dewan Negara, hari ini.

Upacara angkat sumpah dijalankan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V S Vigneswaran.

Senator berkenaan adalah 11 orang wakil Pakatan Harapan (HARAPAN) dan seorang daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Hui Ying juga adalah Setiausaha DAP Pulau Pinang.

Tiga lagi wakil DAP yang mengangkat sumpah adalah Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Cheh; Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling dan Pengarah Pendidikan DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang.

Senator baru daripada PKR termasuk bekas anggota parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PKR, Ismail Yusof; Ketua Cabang PKR Bera, Monalan Mohamad dan bekas Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid.

Sementara itu, wakil Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mengangkat sumpah adalah Ahli Jawatankuasa Pusat parti, Raj Munni Sabu yang dilantik atas lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Seorang lagi wakil AMANAH adalah Naib Presidennya, Husam Musa.

Bagaimanapun, Husam tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah hari ini kerana sedang menunaikan haji.

Beliau dijadual mengangkat sumpah pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Datuk Razali Idris dan Ketua PPBM Bahagian Gelang Patah, Nasir Hashim mewakili parti itu turut mengangkat sumpah.

Turut mengangkat sumpah peguam kanan, Theodore Douglas Lind. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.