Program MDAB Buka Peluang 32,485 Anak Bumiputera Miskin Belajar Di UiTM

SHAH ALAM – Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2010 telah membuka peluang kepada 32,485 anak Melayu dan bumiputera miskin melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

Naib Canselornya, Tan Sri Prof Sahol Hamid Abu Bakar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 80 peratus berjaya memperoleh pekerjaan dalam pelbagai sektor dan kemahiran sejurus tamat pengajian.

 

“Sejak lima tahun lepas, bantuan demi bantuan dihulurkan Datuk Seri Najib demi memastikan semua penuntut khususnya golongan miskin diberi peluang sama rata melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

 

Beliau berkata Perdana Menteri juga telah meluluskan permohonan pembinaan lebih banyak kolej kediaman menerusi peruntukan khas yang mampu memuatkan sehingga 30,000 penuntut.

 

Katanya peningkatan jumlah kemasukan penuntut UiTM setiap tahun menyebabkan kolej kediaman sedia ada semakin sesak.

 

Sahol Hamid berkata ia menyukarkan pelbagai pihak khususnya golongan miskin melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

 

Justeru, beliau berkata dengan pertambahan jumlah kolej kediaman itu, usaha UiTM mencapai sasaran 200,000 penuntut dalam tempoh 10 tahun mampu dipercepatkan.

 

“Pembangunan prasarana menerusi projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) juga dapat mempercepatkan pembinaan dan kita boleh capai pertambahan penuntut sehingga 25,000 orang dalam masa singkat.

 

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan golongan profesional dan tenaga mahir pada masa depan. Semua ini hasil keprihatinan perdana menteri untuk melihat bangsa Melayu dan bumiputera terus maju,” katanya.

 

Beliau berkata projek PFI merupakan pembangunan infrastruktur UiTM yang dibina dengan kerjasama syarikat swasta, dan universiti itu akan menyewa beli dalam tempoh tertentu sebagai langkah memperbanyakkan kemudahan kepada penuntutnya.

 

Katanya projek PFI yang dibangunkan di seluruh negara itu telah siap 95 peratus dan dijangka boleh beroperasi pada penghujung tahun ini. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.