Penembak Dua Wartawan AS Mati Bunuh Diri

VIRGINIA: Suspek yang menembak mati dua wartawan dalam satu insiden di Roanoke, Virginia, Amerika Syarikat semalam dilaporkan meninggal dunia di hospital beberapa jam selepas menembak dirinya sendiri.

 

Vester Flanagan, ditemui pihak berkuasa di Lebuhraya Virginia, beberapa jam selepas insiden tembakan tersebut.

 

Siasatan polis mendapati Flanagan menyimpan dendam terhadap stesen televisyen WDBJ Channel 7, selepas dipecat dua tahun lalu.

 

Flanagan juga telah memuat naik video dia menembak salah seorang wartawan Allison Parker menerusi akaun Twitter miliknya, @bryce_williams7.

 

Selain itu, Flanagan juga menghantar 23 muka surat dokumen kepada stesen ABC News selepas insiden tembakan tersebut, menjelaskan motif tindakannya itu.

 

Dia mendakwa tindakannya berpunca daripada insiden tembakan di sebuah gereja di Charleston, South Carolina Jun lalu, yang mengorbankan 9 orang.

 

Flanagan, seorang bekas wartawan penyiaran , dikatakan berdepan masalah diskriminasi perkauman, gangguan seksual dan dibuli ketika bertugas di stesen berkenaan.

 

Dalam kejadian malam Rabu itu, seorang wartawan dan seorang jurukamera yang sedang bersiaran secara langsung terbunuh apabila mereka diserang dalam satu insiden tembakan di Roanoke, Virginia, Amerika Syarikat.

 

Ketika kejadian, mereka sedang bersiaran secara langsung dalam sebuah program pagi bersama seorang tetamu yang sedang ditemu bual.

 

Serangan yang mengorbankan wartawan Alison Parker, 24, dan jurukamera Adam Ward, 27, itu membuatkan rakan wartawan yang berada di studio berita dan penonton program itu terkejut.

 

Ketika temu bual itu berlangsung, tiba-tiba kedengaran lebih daripada enam das tembakan dilepaskan dan Parker dan tetamunya menjerit ketakutan.

 

Tetamu yang ditemubual Parker, Vicki Gardner turut mengalami kecederaan, namun dilaporkan sedang berada di hospital dan dalam keadaan stabil. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.