Mat Sabu Tolak PAS Tapi Mahu Penyokong PAS Sertai Bersih 4

SHAH ALAM – Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu melanggar pendirian parti dengan mendesak ahli PAS supaya beramai-ramai sertai perhimpunan Bersih 4.0 hujung minggu ini.

 

Walaupun sudah menolak PAS sebagai sekutu dalam pakatan pembangkang baru, Mohamad Sabu atau Mat Sabu menyuarakan keyakinannya terhadap sokongan daripada ahli PAS dalam sidang akhbar mengenai pembabitan GHB dalam Bersih 4.0 di sini semalam.

 

“Tidak terjejas (penyertaan peserta Bersih 4.0) bahkan saya yakin ahli-ahli PAS juga akan bersama dalam himpunan itu. Bersih 4.0 adalah isu rakyat, semuanya tidak kira parti politik akan bersama”, katanya dalam sidang media di GHB Selangor.

 

Dalam pada itu, GHB akan menghantar 500 wakil untuk bersama-sama menyertai himpunan berkenaan yang disifatkan himpunan jalanan pertama GHB.

 

“Himpunan Bersih ini cukup penting kepada semua agar berjalan dengan lancar. Dan kami GHB dapat mengirimkan sukarelawan yang arif melebihi 500 orang dengan uniform, mereka akan bertugas pada 29 dan 30 September nanti bersama Pemuda DAP, AMK, dan Jawatankuasa Bersih 4.0, lebih daripada 2,000 pengawasan akan bertugas pada 29 dan 30 Ogos nanti.”

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yakin pihak berkuasa akan bertindak secara bijak dalam menangani himpunan pada Sabtu dan Ahad ini.

 

“Saya rasa polis ada pertimbangan dan mereka sudah hadapi himpunan aman banyak kali, dan kali ini mereka (polis) akan bertugas dengan baik seperti lalu,” katanya.

 

Semalam Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata akan hanya menghantar tiga wakil bagi menyertai himpunan berkenaan.

 

Malah katanya, PAS tidak menghalang ahli-ahli parti berkenaan menyertai Bersih 4.0. – AntaraPOS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.