Jenayah Di Sempadan Turun Drastik

RANTAU PANJANG – Lebih ramai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditempatkan di sepanjang Sungai Golok bagi mengurangkan jenayah sempadan dan pendatang tanpa izin (pati).

 

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, anggota akan meneruskan tugas selama 24 jam sehari, bermula Pengkalan Kubor sehingga ke Rantau Panjang.

 

Beliau berkata, pihaknya menganggarkan terdapat di antara 10 hingga 20 kawasan ‘hotspot’ atau sasaran utama untuk melakukan aktiviti pemerdagangan manusia.

 

“Penutupan pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok bukan sahaja berjaya mengekang kedatangan pati dan jenayah sempadan, malah mengurangkan aktiviti penyeludupan.

 

“Sepanjang bulan ini sahaja, kita berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan sebanyak RM 33,912.50 berbanding RM 105,807.90 pada bulan lalu,” katanya demikian selepas meninjau keadaan sempadan Sungai Golok di Pengkalan Haram Ibrahim Pencen dan Pengkalan Haram Gergaji, Rantau Panjang, semalam.

 

Zarondin berkata, jumlah ini menunjukkan pengurangan yang ketara berbanding rampasan sepanjang Jun dan Julai lalu yang dianggarkan lebih kurang RM250,000.

 

Serentak dengan itu, menerusi Ops Wawasan ini, beliau turut meluangkan masa melawat anggota yang bertugas di sempadan, bersama agensi penguatkuasa yang lain. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.