GHB Tiada Kaitan Dengan KITA – Siti Mariah

Shah Alam – Seorang lagi pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), Dr Siti Mariah Mahmud menafikan bahawa wujud usaha daripada gerakan itu untuk mengambil alih Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

 

“Setahu saya, di masa-masa kita nak menuju pada 31 Ogos depan (untuk umum parti politik baru), setahu saya bukan KITA. GHB tiada kena-mengena dengan KITA. Namun saya tidak tahu jika ada rundingan yang lain. Namun setakat yang saya tahu, berita itu tidak betul,” katanya kepada Antarapos.

 

Sebelum ini timbul dakwaan bahawa GHB mahu mengambil alih KITA untuk menubuhkan parti politik baru, sekaligus menggantikan tempat PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0.

 

Beberapa pemimpin gerakan itu juga menafikan membayar RM140,000 untuk memiliki KITA, bagi tujuan berkenaan.

 

Siti Mariah, yang juga Ahli Parlimen Kota Raja meminta pihak tertentu yang mereka khabar angin tersebut berhenti berbuat demikian dan menunggu pengumuman GHB yang akan dilakukan pada penghujung bulan ini.

 

KITA sebelum ini pernah diterajui oleh Datuk Zaid Ibrahim, yang merupakan bekas pemimpin Umno dan PKR.

 

Semalam Setiausaha Agung KITA, Azmi Othman membuat laporan polis mendakwa ada pihak tertentu cuba mengambil alih kepimpinan parti itu secara haram.

 

Azmi mendakwa ada orang luar yang kini mendakwa dirinya sebagai presiden baru KITA namun enggan menamakan beliau.

 

Azmi juga mendakwa ada individu mengemukakan minit mesyuarat parti yang dipalsukan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

 

Tindakan itu bertujuan untuk menyakinkan ROS bahawa beliau adalah presiden KITA yang baru, kata Azmi. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.