Agong Puji Pengurusan Islam Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memuji langkah Malaysia yang berjaya mewujudkan pengurusan hal ehwal islam cemerlang dalam segenap bidang pendidikan, ekonomi, perundangan sehingga kepada pengurusan institusi masjid.

 

Seri Paduka bertitah, usaha menjana dan memperkasa pengurusan masjid di negara ini merupakan usaha kesinambungam pelbagai pihak sama ada pihak berkuasa, pengurusan masjid sedia ada dan masyarakat keseluruhannya.

 

“Sehubungan itu, dalam konteks semasa, beta berharap institusi masjid akan sentiasa menjadi penyelesai kepada cabaran-cabaran yang berlaku dalam masyarakat sama ada dalam isu keruntuhan akidah, moral dan sebagainya.

 

“Beta berpendapat, masjid bukan sekadar simbol tetapi menjadi sumber kepada kemajuan dan penentu hala tuju masa depan umat Islam di negara ini,” titah Seri Paduka sewaktu berkenan berangkat ke majlis sambutan Jubli Emas Masjid Negara di sini hari ini.

 

Yang turut berkenan berangkat pada majlis sambutan itu ialah Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

 

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.