200 Bakal Jemaah Haji, Umrah Dakwa Ditipu Agensi Swasta

KEMAMAN – Kira-kira 200 bakal haji dan umrah dari Kemaman dan Kuala Terengganu mendakwa ditipu agensi pengendali pakej umrah dan haji swasta di sini sejak setahun lalu.

 

Ia membabitkan kerugian RM1 juta yang telah dibayar dan gagal dikembalikan oleh agensi itu hingga ke hari ini.

 

Setiap seorang jemaah terbabit mendakwa mengalami kerugian antara RM3,900 dan RM30,000 selepas membayarnya kepada agensi itu antara bulan Ogos hingga September tahun lepas.

 

Seorang mangsa Azizatun Abu, 42, berkata beliau membayar RM3,900 bagi pakej umrah dan RM10,000 wang pendahuluan bagi mengerjakan haji bersama lima anggota keluarganya.

 

Azizatun berkata sepatutnya mereka dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada Disember tahun lalu tetapi sehingga kini gagal menjejakkan kaki ke sana.

 

Sebaliknya, beliau mendakwa pelbagai alasan diberikan wakil agensi tersebut.

 

“Saya tak sangka jadi begini kerana sebelum ini ada jemaah haji yang mendakwa berjaya pergi umrah dan haji melalui syarikat itu dengan tawaran tambang lebih murah berbanding Tabung Haji dan agensi lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

 

Antara alasan yang diberikan ialah visa mereka tidak diluluskan Kedutaan Arab Saudi dan pelbagai alasan lain serta dijanjikan untuk ke Tanah Suci pada tahun seterusnya, katanya.

 

Seorang lagi mangsa Hasnida Muda, 50, berkata beliau telah membayar RM10,000 bagi pakej umrah bersama suami dan tiga anaknya.

 

Menurutnya agensi itu juga gagal memulangkan wang mereka kerana dijanjikan akan dapat melakukan ibadah umrah pada bulan seterusnya. Namun, sehingga April tahun ini alasan yang sama terus diberikan.

 

Merasa tertipu dengan helah dan alasan yang diberikan agensi berkenaan, sebahagian mereka tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Jumaat lepas, supaya tindakan undang-undang dapat diambil dan tiada lagi yang menjadi mangsa penipuan agensi tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan mengklasifikasikannya sebagai kes sivil. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.