183 Lagi Rumah Kekal Mangsa Banjir Bakal Diserahkan

KUALA KRAI – Sebanyak 183 lagi rumah kekal dijangka bakal diserahkan kepada mangsa banjir pada September ini.

 

Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, manakala 81 lagi rumah kekal masih dalam proses untuk melantik kontraktor.

 

Menurutnya, 30 rumah yang siap dibina telah pun diserahkan kepada mangsa banjir sebelum Aidilfitri lalu.

 

“Jumlah keseluruhan rumah mangsa banjir yang musnah ialah 1,257 buah.

 

“Kesemua 294 rumah mangsa banjir yang mempunyai geran telah pun diambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Krai.

 

Beliau yang juga Adun Dabong berkata, kerajaan akan berusaha membantu mangsa banjir di daerah ini terutama yang kehilangan tempat tinggal.

 

Ramzi berkata, bagi mangsa banjir yang kehilangan rumah serta tidak mempunyai tanah satu kerjasama diadakan antara kerajaan pusat dan negeri.

 

“Kita telah jalankan kerjasama di mana kerajaan negeri menyediakan tanah di Telekong seluas 12 hektar untuk pembinaan rumah…sementara kerajaan pusat pula menyediakan peruntukan sebanyak RM3.9 juta untuk kerja-kerja tapak.

 

“Yayasan Zakat Selangor pula turut menyediakan peruntukan RM10 juta untuk pembinaan rumah kepada mangsa banjir,” katanya.

 

Beliau menambah, masalah lain timbul dalam usaha kerajaan untuk membantu mangsa banjir ialah isu tanah.

 

Katanya, kerajaan negeri telah memberikan tanah yang terletak di Chenulang dan Dabong untuk dibina rumah mangsa banjir namun hasrat itu tidak dapat direalisasikan berikutan beberapa masalah yang timbul.

 

Menurutnya, kerajaan pusat melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) telah meninjau kawasan tanah di Chenulang.

 

“Tanah tersebut sebenarnya telah diusahakan pihak tertentu. Jadi dalam masa terdekat tanah ini tidak boleh digunakan untuk pembinaan rumah mangsa banjir.

 

“Saya bersama ketua jajahan, Unit Teknikal Pasca Banjir juga telah melawat Dabong dan kami lihat kawasannya berbukit tinggi. Jadi kos yang diperlukan juga agak tinggi untuk meratakan tanah berkenaan…jadi Ketua Umno Kelantan, Datuk Sri Mustapa Mohamed mengarahkan supaya tanah di kawasan lain dibeli untuk dijadikan penempatan mangsa banjir,” katanya.

 

Walaubagaimanapun, tanah seluas 12.4 hektar di kawasan Manjor, Gua Ikan, Peria dan Kemubu sedang dalam proses rundingan untuk dibeli.

 

Persediaan dilakukan hadapi banjir

 

Ramzi juga meluahkan rasa bimbang berikutan musim tengkujuh bakal tiba beberapa bulan lagi.

 

Katanya, banjir tahun lalu telah memberikan banyak pengajaran dan kini pihaknya sudah membuat sedikit persediaan.

 

“Banjir baru-baru ini agak luar biasa, tempat tinggi dinaiki air.

 

“Jadi apabila bekalan eletrik terputus, rangkaian komunikasi juga tidak berfungsi menyebabkan hanya walkie talkie dapat digunakan dalam situasi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Bagi tujuan itu, beliau berkata, sukarelawan Umno melalui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) hampir 1,000 orang akan digerakkan dan pihaknya merancang menyediakan walkie talkie untuk berhubung. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.