YOG 2014 : Pingat Perak Acara Memanah

Nanjing –  Kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China berjaya memperolehi satu lagi pingat perak menerusi atlit memanah, Zarif Syahiir Zolkepeli dalam acara memanah campuran bersama pasangannya dari Jerman.

Sebelum itu tugas sukar menanti gandingan itu selepas bertemu pasangan China-Filipina, Li Jiaman dan Luis Moreno Gabriel bagi penentuan emas.

Zarif membuat permulaan baik dengan panahan tepat dalam dua siri.

Begitupun dia dikecewakan dengan persembahan Freywald apabila panahan wakil Jerman itu sedikit tersasar.

Hasilnya kemenangan 6-0 memihak Jiaman-Moreno Gabriel, dan menyaksikan Zarif dan Frewald berpuas hati dengan pingat perak.

Persembahan cemerlang Zarif turut dapat pujian Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara, MSN, Jefri Ngadirin.

Ujar Jefri, Zarif telah membuktikan dia mampu bersaing di peringkat lebih tinggi biarpun dalam acara berpasukan campuran.

Pencapaian tersebut di Lapangan Memanah Fangshan itu telah menepati sasaran peribadi ketua kontinjen Wong Pei Tty yang sebelum ini dihujani kritikan setelah gagal mendapat sebarang pingat pada awal temasya khususnya empat hari selepas memulakan saingan.

Pingat emas pertama negara sebelum ini disumbang oleh pemain badminton Cheam June Wei dalam acara beregu campuran antarabangsa manakala pingat perak oleh penerjun wanita negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu.

Pencapaian semasa kontinjen negara itu telah melepasi pungutan dua pingat perak oleh ratu terjun negara Pandelela Rinong pada edisi pertama di Singapura pada 2010.

Selain mengatasi pencapaian edisi pertama, kontinjen negara mampu menarik nafas lega apabila dapat melenyapkan kritikan sesetengah pihak yang menyifatkan penghantaran atlet pelapis negara ke Nanjing sebagai satu pembaziran dan atlet hanya ke sini untuk ‘makan angin’.

Sementara itu, atlet ekuestrian negara, M.Praveen Nair bersama kudanya, ‘Arkansas’, yang bakal mengalas cabaran negara di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, bulan depan, gagal mendapat rentak kemenangan apabila hanya  menduduki tempat kelima dalam acara individu Jumping.

Nasib yang sama turut menimpa atlet gimnastik, Jeremiah Loo Phay Xing yang terus dihantui kekecewaan apabila sekadar menduduki tempat kedua tercorot (tempat ketujuh) dalam acara Palang Sejajar individu lelaki akhir.

Beliau hanya mengumpul sebanyak 13.366 mata.

Pasukan tuan rumah, China terus mendominasi kejohanan tersebut apabila secara keseluruhan telah mengumpul sebanyak 21 pingat emas, sembilan pingat perak dan 13 pingat gangsa.

Rusia masih  menghuni tangga kedua dengan koleksi 19 emas, 15  perak dan sembilan pingat gangsa diikuti Itali dengan enam emas, enam perak dan empat pingat gangsa.

Hari ini, atlet negara akan mengambil bahagian dalam acara terjun, olahraga dan gimnastik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.