‘Puteri Gunung Ledang’ Kembali Setelah 10 Tahun Berlalu

Kuala Lumpur  –  “Ku hinakan diriku sendiri untuk merengkuh cinta sejati. Cintamu bagai cahya mentari yang membakar wajahku. Meski sekilas kurasakan, namun akan menjadi bekal hingga akhir zaman. Aku juga mencintaimu Tuah.”

Masih ingatkah anda dengan dialog dalam adegan kemuncak filem epik Puteri Gunung Ledang (PGL) yang pernah ditayangkan 10 tahun lalu?

Dialog keramat yang dilafazkan oleh Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah lakonan Tiara Jacquelina terus bermain di bibir para peminat filem itu walaupun setelah 10 tahun ia ditayangkan.

Filem arahan Saw Teong Hin dengan skrip nukilan Mamat Khalid itu bakal menemui peminatnya dalam format adunan semula digital definisi tinggi.

“Saya tidak menyangka setelah 10 tahun berlalu, peminat masih berbicara mengenai filem Puteri Gunung Ledang seolah-olah mereka baru menontonnya semalam.

“Projek ini sangat bermakna buat saya dan paling kami banggakan. Kami meletakkan seluruh tenaga dan masa kami untuk melakukan penyelidikan, persiapan, publisiti dan pemasaran untuk filem ini.” ulas Tiara.

Filem tersebut akan ditayangkan secara eksklusif di dua panggung iaitu GSC Mid Valley dan GSC Signature The Gardens sempena cuti Hari Kebangsaan ke-57.

Ditayangkan pada 30, 31 Ogos dan 1 September, tiket boleh dibeli secara online di Ticket Hotline www.tickethotline.com.my.

Filem yang merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik buat Tiara itu telah merentas samudera mencipta sejarah di litar festival filem antarabangsa antaranya Venice, Bangkok dan Palm Springs.

“PGL telah merubah landskap perfileman tempatan. Sebuah filem yang mampu untuk mewakili Malaysia di arena antarabangsa dan menyatukan rakyat Malaysia pelbagai latarbelakang untuk datang ke panggung menyaksikan filem ini 10 tahun lalu,” tambah Tiara lagi.

Selain Tiara, filem itu turut dibintangi M.Nasir, Rahim Razali, Adlin Aman Ramlie, Sofia Jane, Khir Rahman, Sabri Yunus dan Ruminah Sidek.

Pelakon seberang bergred A seperti Christian Hakim, Alex Komang dan Slamet Rahardjo turut terlibat dalam penghasilan filem epik ini.

“Bila sampai waktunya, kita akan bersama. Adinda anggap ini sebagai janji.” –Puteri Gunung Ledang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.