Polis Tahan Pekerja Nepal Yang Mengamuk, Bakar Kilang Dan Kereta Pengurus

Kulaijaya – Sebuah kereta pengurus kilang diterbalik dan dibakar dalam satu kejadian mogok oleh kira-kira 800 pekerja asing kilang membuat komponen pemacu cakera keras Taman Perindustrian Kelapa Sawit di sini.

Kejadian tersebut yang dikatakan bermula pada 9 pagi semalam turut menyebabkan bahagian depan pejabat pengurusan kilang itu rosak akibat dibaling dengan objek keras.

Mogok itu didakwa dilancarkan berikutan rasa tidak puashati pekerja terhadap majikan yang didakwa mengabaikan kebajikan mereka.

Namun keadaan bertambah buruk apabila mereka dipercayai bertindak ganas dengan membakar kilang tersebut sehingga menyebabkan sebahagian dari struktur bangunan tersebut musnah.

Kejadian itu berlaku selepas rundingan di antara pekerja dan juga pihak pengurusan menemui jalan buntu.

Dalam kejadian malam tadi, para pekerja berkenaan seterusnya membakar tiga buah bangunan milik syarikat elektronik yang disenaraikan di bursa saham, termasuk stor kilang tersebut pada kira-kira jam 8 pagi.

Kebakaran, tersebut berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba pada jam 10.05 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan.

Kilang Terbakar 2

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kilang Terbakar 1

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Seorang pekerja warga Nepal, Kishor Rai, 23, yang sudah bekerja selama lima tahun berkata, mogok berkenaan berlaku kerana pekerja warga asing itu sudah tidak dapat bertahan dengan penindasan terhadap mereka.

“Mereka (pihak pengurusan) sering memukul kami walaupun hanya melakukan kesalahan kecil tanpa memberi teguran atau berbincang terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Selain itu, kata beliau, gaji bulanan mereka sering dipotong dan elaun kerja lebih masa tidak dibayar mengikut jumlah sepatutnya.

Gaji turut dipotong untuk kemudahan hostel pekerja sedangkan sebelum ini ianya dijanjikan secara percuma untuk pekerja.

Kishor berkata, pelbagai aduan telah dikemukakan namun penindasan masih berterusan dan mereka berharap majikan bersikap lebih prihatin terhadap mereka selepas kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Idris Samsuri berkata, sehingga kini polis telah menahan 42 pekerja rakyat Nepal yang dipercayai merusuh dan membakar sebahagian bangunan kilang membuat komponen pemacu cakera keras di Taman Perindustrian Kelapa Sawit dekat Kulaijaya, semalam.

Menurut Mohd Idris, kesemua pekerja itu ditahan antara pukul 8.30 malam tadi hingga pukul 8 pagi ini di sekitar kawasan kilang tersebut.

“Mereka akan membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kilang itu memberhentikan operasi sementara hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Beliau sebelum ini berkata seramai 75 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan 50 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya telah dikerah ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

Mohd Idris berkata polis turut menguruskan pertemuan dengan wakil pekerja yang ditahan dan juga pengurusan syarikat, dengan kehadiran pegawai kedutaan sebagai orang tengah dan jurubahasa.

Katanya, rusuhan kedua bermula pada kira-kira jam 4 petang selepas perbincangan dengan pekerja dan pengurusan “tidak dapat dikawal”.

Sementara itu, setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, K Mohanadas berkata, para pekerja itu mengadu kerana tidak mendapat akses perubatan selain keadaan tempat tinggal dan tempat kerja yang teruk.

Syarikat terlibat pula, JCY International Berhad dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia mengesahkan bahawa kebakaran dan rusuhan pekerja itu berlaku di kilang milik anak syarikatnya, JCY HDD Technology Sdn Bhd.

“Bagaimanapun, tiada kerosakan teruk pada kilang milik syarikat dan anak syarikat itu,” kenyataan itu ahli lembaga syarikat dipetik.

Kenyataan oleh ahli lembaga syarikat tersebut menyebut, kes berkenaan menyebabkan operasi kilang tersebut dihentikan buat sementara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.