PAS Selangor Bincang Soal Nama Calon MB Malam Ini – Iskandar

Shah Alam – PAS Selangor akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi membincangkan isu pemilihan nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad memberitahu mesyuarat itu akan turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Bagaimanapun, Iskandar enggan mendedahkan maklumat terperinci berkenaan mesyuarat tersebut dan meminta semua pihak untuk bersabar dan menunggu sehingga keputusan dicapai melalui mesyuarat tersebut.

“Kita akan ada mesyuarat bersama Setiausaha Agung malam ini, kita akan tentukan selepas itu.

“Saya akan bagi komen selepas mesyuarat,” jelasnya.

PAS sebelum ini menegaskan akan menghantar lebih dua nama kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi dinilai untuk mengisi kekosongan jawatan Menteri Besar.

Tindakan PAS itu bercanggah dengan PKR dan DAP yang tetap mahu menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta PAS menghormati keputusan PKR dan DAP mahukan Azizah dijadikan calon tunggal untuk jawatan itu.

Anwar berkata Pakatan Rakyat sebelum ini pada 2008 dan 2013 hanya menghantar satu nama iaitu Tan sri Khalid Ibrahim, meskipun Sultan Selangor meminta empat nama calon.

Bagaimanapun Khalid menafikan kenyataan itu dan memberitahu terdapat pencalonan berasingan daripada PKR dan PAS pada 2008 dan 2013.

Namun Khalid tidak menyatakan nama-nama calon yang dinamakan dua parti itu sebelum ini.

“Cerita (satu nama calon) itu tidak dilaporkan secara tepat.

“Ada pencalonan berasingan dari PKR dan PAS pada 2008 dan 2013,” kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco sebentar tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.