PAS Akur Titah Sultan Calonkan Lebih Dari Dua Nama

Shah Alam – Pas Selangor menyambut baik titah sultan yang meminta PR mencadangkan lebih dua calon bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar yang baharu.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, selaras dengan titah baginda, pihaknya akan mencadangkan nama yang dirasakan layak untuk menyandang jawatan itu.

“Pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah sangat konsisten dengan titah tuanku dan kita yakin rakyat di negeri Selangor juga menyambut baik titah tuanku,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Menurut Khairuddin lagi, pihaknya yakin bahawa cadangan nama calon yang akan dikemukakan kelak oleh ketiga-tiga parti akan mendapat perkenan pihak Istana.

Terdahulu, Pas menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon menteri besar selain calon tunggal PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu beliau menegaskan, kesemua empat anggota Exco yang masih kekal akan terus berkhidmat demi memastikan pentadbiran bagi kerajaan dan rakyat negeri Selangor berjalan dengan lancar.

“Pihak kami akan terus mempertahankan PR dan kita serah sepenuhnya kepada Pas Pusat untuk menentukan calon yang terbaik bagi jawatan menteri besar tersebut,” katanya lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.