Mahasiswa Pro-BN Tidak Kurang Hebatnya, Harus Diberi Peluang

Shah Alam  – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu memberi peluang kepada mahasiswa pro-BN untuk bekerja dengannya.

Naib Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia, Khaidir Baharuddin berkata, mahasiswa pro-BN tidak kurang hebatnya dalam memberi idea dan bekerja malah ada yang lebih layak berbanding penyokong PR.

“Kenyataan Khairy (bahawa beliau tiada masalah untuk mengambil penyokong PR bekerja dengannya) membuktikan keterbukaan kerajaan BN. Tiada apa yang ingin diselindung menteri-menteri BN.

“Cuma peluang sama harus diberikan kepada mahasiswa pro-BN yang selama ini jelas secara konsisten menyampaikan agenda serta polisi kerajaan BN kepada rakyat dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Khaidir berkata, Malaysia akan mencapai fasa baharu dalam politik negara jika kepimpinan negeri PR turut membuka jalan kepada mahasiswa pro-BN seperti dilakukan Khairy.

“Kami ingin melihat sejauh mana keterbukaan kerajaan pimpinan PR dalam membuka peluang kepada mahasiswa pro-BN untuk menyumbang bakti kepada negeri yang ditadbir.

“Ini yang berlaku di Amerika Syarikat dan United Kingdom, parti politik hanya bercanggah idea dalam pilihan raya tetapi apabila bekerja, semua bersatu dan bekerjasama tanpa mengira lambang politik. Adakah kepimpinan negeri PR sanggup membuka pintu seperti ini?,” katanya.

Khairy sebelum ini berkata tidak adil kepada penjawat awam sekiranya mereka tidak dibenarkan bekerja hanya kerana tidak menyokong kerajaan dan beliau tidak boleh memaksa mana-mana pekerja di kementeriannya itu untuk menyokong BN.

“Kita kena hormati mereka (penjawat awam) sebagai profesional dan selagi mereka memberi kerjasama baik dan menyokong dasar kerajaan serta tidak membawa  unsur politik dalam tugasan mereka, kita perlu kekalkan hubungan yang mesra dengan mereka,” katanya melalui laman sosial Facebooknya, kelmarin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.