Lawatan Najib Ke Singapura Tingkat Hubungan Baik Malaysia-Singapura

Singapura – Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perasmian Agro Bazar Malaysia di Singapura menandakan hubungan baik antara Singapura dan Malaysia, kata Kementerian Luar Singapura.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata ia turut memperkukuh komitmen kedua-dua negara dalam mengeratkan hubungan kerjasama dalam semangat setiakwan, hormat-menghormati dan faedah bersama.

Najib akan berada di Singapura pada Rabu untuk merasmikan Agro Bazar Malaysia.

Pada 7 April 2014, semasa Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di Kuala Lumpur, beliau mengumumkan bazar tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Bazar yang terletak di Lot 37, 39, 41 dan 43 Sultan Gate akan mempamerkan buah-buahan segar dan produk pertanian daripada Malaysia.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah dijemput oleh Najib untuk turut bersama merasmikan pembukaan bazar tersebut.

Berikutan pelancaran itu, Lee dan isteri, Najib serta Datin Seri Rosmah Mansor akan turut melawat Hab Sukan Singapura yang baru siap di samping menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Lee.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.