Kuch Kuch Hota Hai Sebahagian Dari Hidup Kajol

Kuala Lumpur – ‘PYAR dosti hai’, dialog yang membawa maksud ‘cinta itu sebuah persahabatan’ dipetik daripada filem popular Kuch Kuch Hota Hai lakonan gandingan emas, Kajol Devgan dan Shah Rukh Khan.

Dialog daripada filem yang mencetuskan fenomena Bollywood di Malaysia pada tahun 1998 itu secara tidak langsung telah meledakkan dua nama besar itu merentas pelbagai benua.

Meminjam emosi mengenai filem arahan Karan Johar yang pernah menjulang aktres itu sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filmfare Awards, bicara Kajol bermula kencang.

“Kuch Kuch Hota Hai adalah sebahagian daripada hidup saya, ia bukan sekadar sebuah filem bahkan lebih daripada segalanya.

“Kalau ditanya siapakah yang boleh membawakan watak Anjali Sharma, saya tidak boleh membayangkannya kerana watak itu bukan sekadar watak.

“Ia sebuah memori, persahabatan yang luar biasa dan kegembiraan yang tidak pernah luak,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran saluran berdefinisi tinggi baharu Astro, BollyOne HD 251, di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kajol, 40, nama yang tidak dapat disangkal kredibiliti menjayakan setiap peranan yang diberikan pengarah dengan berkesan.

Karakter gadis tomboi seperti Anjali Sharma dalam Kuch Kuch Hota Hai, gadis cemerkap umpama Anjali Sharma Raichand menerusi filem Kabhi Khushi Kabhie Gham begitu juga gadis kolot yang senang diperdaya seperti Simran Singh dalam filem hit sepanjang zaman Dilwale Dulhaniya Le Jayenge, tidak pernah mengecewakan malah menambah bilangan anugerah yang diraih Kajol.

Pelakon prolifik kesayangan India itu merupakan pemenang terbanyak anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filmfare Awards sepanjang 22 tahun pembabitannya dalam industri perfileman Bollywood.

Lebih manis, hubungan ‘cinta itu sebuah persahabatan’ yang terjalin menerusi filosofi Kuch Kuch Hota Hai menjulang nama Kajol dan Shah Rukh Khan sebagai gandingan romantik terbaik sepanjang zaman.

Enam buah filem lakonan Kajol dan Shah Rukh Khan tidak pernah mengecewakan. Bermula dengan filem thriller Baazigar (1993), Karan Arjun (1995), Dilwale Dulhaniya Le Jayenge (1995), Kuch Kuch Hota Hai (1998), Kabhi Khushi Kabhie Gham (2001) dan kali terakhir, My Name Is Khan (2010).

Barangkali, peminat pasangan itu bakal sekali lagi melihat gabungan Kajol dan Shah Rukh Khan dalam filem arahan Rohit Shetty yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

“Rohit sudah mendapatkan SRK (Shah Rukh Khan) untuk membintangi filem terbaharunya manakala Kajol akan menyertai produksi itu pada tahun depan,” demikian lapor The Times Of India.

 

Penangan Bollywood

Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi bertuah Kuala Lumpur, Kajol memuji keramahan dan kesantunan penduduk yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia.

“Saya berbangga dan teruja sejak hari pertama di Kuala Lumpur. Semua orang di sekeliling saya sangat mesra dan peramah malah ada yang datang bertegur sapa dengan saya,” ujarnya berkongsi secebis kenangan sepanjang tiga hari di kota jantung Malaysia.

Merangsang deria rasa dan cita rasa Kajol terhadap perkembangan industri perfileman Bollywood merentas pelbagai benua untuk dikenali di peringkat antarabangsa, kata Kajol, uniknya karya Bollywood kerana kandungan rencah yang serba cukup.

“Filem Bollywood ada drama, pelbagai warna dan penceritaan yang sangat indah serta boleh memanipulasi emosi penonton.

“Pelakon cuma nilai tambah kepada keberkesanan dan kejayaan sesebuah filem Bollywood. Jika penonton terhibur maka kami berhasil menjalankan tugas kami,” lentur Kajol.

Memilih untuk berkahwin ketika kerjaya berada di puncak tidak menjadi hal yang mengganggu setiap keputusannya. Kajol berkahwin dengan pelakon Ajay Devgan pada tahun 1999 selepas lima tahun bercinta.

Pernah timbul beberapa spekulasi yang menyifatkan Kajol dan Ajay bukan pasangan yang ideal memandangkan kedua-duanya mempunyai personaliti yang bertentangan.

Sehingga kini pasangan itu telah dikurniakan sepasang cahaya mata, Nysa, 11 dan Yug, 4 tahun.

 

BollyOne HD

Sementara itu, peminat Bollywood kini berpeluang menikmati filem-filem Bollywood berdefinisi tinggi (HD) di saluran baharu Astro, BollyOne HD (251 Astro) bermula 1 September hingga 18 September dalam bentuk pratonton.

Sebanyak tujuh buah filem baharu bakal ditayangkan pada bulan pertama saluran itu beroperasi iaitu Youngistan, Darr, Boothnath Returns, O Teri, Holiday, Queen dan Dedh Ishqiya.

Saluran BollyOne HD akan menayangkan lima filem terkini dalam sebulan selain mempamerkan program berbentuk konsert, majlis anugerah popular Bollywood, gosip dan klip video terkini.

Mengulas mengenai perkembangan itu kata Kajol, dia yakin dengan sambutan yang akan diterima memandangkan industri perfileman Bollywood masih mendapat tempat di hati peminat di Malaysia.

“Saluran BollyOne HD adalah satu langkah bijak untuk memperkenalkan filem dari Bollywood malah saya percaya saluran ini akan mendapat sambutan luar biasa,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis pelancaran saluran BollyOne HD ialah Ketua Pegawai Operasi Astro Malaysia Holdings Bhd., Henry Tan; bekas pengarah filem terkemuka Tan Sri Datuk Dr. L.Krishnan; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohd. Taib; dan Naib Presiden Perniagaan India Astro, Dr. Rajamani Chellamuthu.

Majlis turut diserikan dengan nyanyian lagu popular yang dipetik daripada beberapa buah filem Bollywood oleh dua penyanyi terkenal Vijay Prakash dan Richa Sharma, selain kehadiran selebriti tanah air antaranya Lisa Surihani, Aaron Aziz dan Awal Ashaari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.