Kempen Boikot Berkesan

Putrajaya – Kempen memboikot syarikat yang menyalurkan sumbangan kepada Israel benar-benar memberi tekanan kepada mereka lebih-lebih lagi apabila kempen tersebut mendapat sambutan dari rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Awang Suffian Awang Piut, sehingga ke hari ini rakyat Malaysia menyokong penuh boikot yang digerakkan Aman Palestin di seluruh negara.

“Rakyat Malaysia melakukan apa yang mereka sepatutnya mereka lakukan. Ini benar-benar memberi kesan terutamanya kepada McDonalds.

“Ini kerana McD berkali-kali menelefon Aman Palestin untuk memberikan sumbangan, tetapi kita menolak,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di Hotel Everly, di sini pagi tadi.

Jelas Ustaz Awang, kita tidak menerima atas dasar mereka perlu buktikan dahulu bahawa mereka tidak memberi bantuan kepada Zionis Israel.

“Tetapi jika apa yang disumbangkan hanya semata-mata mahu mengelakkan syarikatnya diboikot, kita tidak boleh terima.

“Ini kerana asas prinsip yang kita pegang ialah mereka mesti tidak memberi apa-apa bantuan kepada Israel yang telah membuat kekejaman dan jenayah terhadap rakyat di Gaza,” katanya.

Menjelaskan perkara itu tambah beliau, wajah kebinatangan Zionis Israel sampai ke kemuncaknya ditambah dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat, Ukraine, Bulgaria, Britain, Sepanyol, Jerman, Itali dan Republik Czech.

“Mereka membunuh rakyat Palestin secara menggila. Bayangkan keganasan Israel ke atas Gaza selama 49 hari telah menyebabkan 2,121 rakyat Palestin dibunuh dan hampir 10,854 cedera.

“Lebih menyayatkan hati, 500,000 rakyat Gaza terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing yang mana 10,700 rumah, 193 masjid, 194 pusat pendidikan dan 3,449 pusat perkhidmatan awam musnah sepenuhnya dalam serangan Zionis.

“Jadi inilah masanya untuk kita bangkit bagi membuktikan bahawa kita tidak berdiam diri di atas jenayah yang mereka lakukan, yang pasti kempen boikot akan diteruskan,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.