Cetek Pengalaman, Punca Kalah

Copenhagen,  (Denmark) –  Cetek pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa selain gagal mengekang pihak lawan menjadi punca kekalahan beregu campuran negara, Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 di Denmark.

Wakil tunggal negara dalam acara beregu campuran itu kalah 16-21 dan 9-21 kepada pilihan keempat yang merupakan pasangan suami isteri, Chris dan Gabrielle Adcock dari England pada pusingan kedua di Ballerup Super Arena pada Isnin.

“Pasangan lawan berjaya menghidu corak permainan kami sehingga menyebabkan kami banyak keciciran mata kepada mereka (Chris dan Gabriella),” kata Lai kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Pemain kelahiran Pahang itu mengakui, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya kesilapan memberikan mata mudah sehingga membenarkan pihak lawan memenangi perlawanan.

“Kita agak berkobar-kobar untuk membalas dendam atas kekalahan pada Sukan Komanwel 2014 namun segala perancangan kami sudah dapat dibaca…Masalah nyata yang saya lihat ialah kita gagal mematikan segala gerakan sehingga membenarkan mereka meraih kemenangan dalam perlawanan ini,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Dalam pada itu, Lai berkata, mereka akan beraksi pada Kejohanan Grand Prix Emas Indonesia Masters 2014 dari 9 hingga 14 Sept di Palembang, Indonesia namun tidak meletakkan sebarang sasaran khusus.

Pada aksi pusingan awal pada Isnin, Tan dan Lai mengalahkan beregu Hong Kong, Chan Yun Lung dan Ying Suet Tse dengan keputusan 21-14 dan 21-17. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!