Asyraf Wajdi Sedia Berkhidmat Demi UMNO, Walau Siapa Pun Calon

Kuala Lumpur – Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno untuk menentukan sama ada beliau tersenarai atau sebaliknya sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor nanti.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu berkata apa yang penting calon itu mestilah mampu membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia, Rabu lalu.

“Pemimpin sebelum ini meletakkan asas yang amat kuat di Pengkalan Kubor.

“Mesej ini jelas bahawa kita perlu meneruskan tradisi khidmat dan bakti Umno dalam Barisan Nasional dan meneruskan legasi yang telah dibuktikan oleh Allahyarham,” katanya kepada pemberita di Program Semarak Merdeka Kempen Kibar Jalur Gemilang di Kota Baru hari ini.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata sama ada terpilih atau tidak sebagai calon, sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, beliau akan memastikan BN mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Kubor.

Asyraf Wajdi juga berpendapat beberapa calon yang berpotensi serta mempunyai latar belakang agama, selain daripada kalangan warga Tumpat juga wajar ditonjolkan dalam PRK itu nanti.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, parti pembangkang sama ada PAS atau PKR sebagai sebuah parti yang bermaruah tidak salah jika boleh memberi laluan kepada Umno dan BN untuk terus mentadbir kerusi DUN terbabit memandangkan tempoh pentadbiran yang tidak sampai tiga tahun lagi.

“Atas dasar setiakawan, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos bahkan boleh menjadi model baru politik negara sekali gus menepis polemik tidak sihat setiap kali menjelang pilihan raya,” katanya.

Asyraf Wajdi sebelum ini pernah dicalonkan bagi kerusi Parlimen Tumpat berhadapan dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaafar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 namun tewas.

Noor Zahidi, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, Rabu lepas.

Allahyarham merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.