Anak-Anak Bergaduh, Rutin Didie Alias Kelam Kabut Kerana Dayyan

Selama 15 tahun pelakon dan pengacara Didie Alias hidup bahagia di samping lima cahaya mata yang kini sedang meningkat dewasa. Tambah bermakna, selepas perkahwinan kali keduanya bersama Norisham Ismail, Didie disahkan hamil dan pada 27 Jun lalu pelakon drama ‘Labuna Labuni’ ini selamat melahirkan seorang bayi lelaki.

Bertemu Didie Alias di sebuah majlis baru-baru ini, ibu berusia 41 tahun ini meluahkan rasa syukur dengan kehadiran bayi yang diberi nama Muhammad Dayyan itu kerana setelah hampir sekian lama tidak mempunyai anak kecil, beliau kini merasakan dirinya seolah-seolah seperti saat pertama kali bergelar ibu.

Begitupun Didie tidak menafikan sewaktu awal-awal minggu lalu rutin hariannya agak kelam-kabut kerana dia sekarang perlu mengutamakan Dayyan sebelum melakukan kerja-kerja lain.

“Teruja dapat anak lelaki. Tapi masa awal-awal tu memang kelam kabut juga hidup (ketawa) sebab 15 tahun tak ada baby, tiba-tiba dikurniakan seorang lagi. Saya pula melahirkan secara pembedahan, jadi manakan nak jaga diri dan nak jaga Dayyan. Tapi perlahan-lahan saya cuba perbetulkan balik keadaan.

“Kekok juga masa mula-mula. Tak tahu macam mana nak pegang dan nak menyusukan dia. Banyak perkara yang saya kena ingatkan semual dan buat sepertima masa mula-mula dulu bergelar ibu. Alhamdulillah, sekarang ni sudah mula rasa biasa. Kawan-kawan pun tak henti beri ucapan taniah pada kami sekeluarga”, kata Didie Alias dengan nada penuh ceria ketika ditemui pada sidang media Pengumuman Top 5 Finalis Anugerah Lawak Warna 2014, kelmarin.

Di majlis tersebut merupakan kemunculan pertamanya sejak bersalin. Menurut Didie dia masih lagi dalam proses berpantang.

“Saya dalam proses berpantang lagi sekarang. Tapi dalam masa sama saya pun akan kembali bekerja seperti biasa dalam masa terdekat ini. Saya akan sibuk dengan pengacaraan untuk majlis-majlis makan malam sehingga bulan Disember nanti.

“Untuk permulaan ini saya bawa Dayyan ke tempat saya bekerja kerana dia menyusu badan. Tak sampai hati pula saya nak beri susu tepung. Sebab itu dia akan ikut saya ke lokasi. Mungkin ada ketika saya tinggalkan dia di rumah kerana bapanya ada untuk menjaganya. Sementara dia masih lagi menyusu badan, jadi dari segi tawaran berlakon kalau bersiri dan di luar Kuala Lumpur saya terpaksa tolak”, katanya.

Tambah Didie lagi, tidak hanya dia dan suami saja yang teruja dengan kehadiran orang baru malah tambah melucukan hatinya apabila anak-anaknya yang lain juga turut berebut mahu menjaga adik mereka itu.

“Suami saya pun sangat gembira. Dia kata macam tak percaya yang saya boleh bagi dia seorang zuriat. Nanti kalau saya sudah mula sibuk dengan kera dia lah yang akan ambil alih jaga Dayyan.

“Kakak-kakak dan abangnya memang teruja dapat adik baru. Sampaikan mereka bergaduh dan berebut-rebut nak jaga si adik. Kalau mereka pulang ke asrama dan hostel, sekarang ni mereka selalu telefon bertanyakan khabar adik mereka dulu baru tanyakan khabar mummynya (panggilan Didie oleh anak-anaknya).

“Kalau nak tahu, disebabkan tumpuan mereka sudah diberikan pada adik, ‘baby’ (kucing) saya yang satu lagi sampai masuk hospital, agaknya sakit sebab dah tak dah tak jadi tumpuan”, tuturnya sambil tertawa.

Lima lagi anak Didie merupakan hasil perkahwinan terdahulunya bersama pelakon Ridzuan Hashim. Mereka ialah Nurdhaniyah, 20, Muhammad Dhanial, 19, Nur Dinie, 17, Nur Dayini Ahza, 15, dan Nur Diyana, 14,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.