KUALA LUMPUR — Co-opbank Pertama (CBP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 12 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara menerusi Program Bantuan Wasilah Ilmiah Fisabillah, iaitu Geran Penyelidikan.
Pengerusi CBP, Datuk Baharom Bin Embi berkata, geran penyelidikan yang diberikan ini adalah daripada agihan wakalah zakat CBP Fasa 1 dan Fasa II yang berjumlah RM512,000.00.
“Diharapkan dengan geran penyelidikan yang diberikan ini ianya dapat membantu IPT-IPT yang terlibat untuk terus menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
“Insya Allah, program-program seperti ini akan terus dilakukan di masa akan datang dengan lebih banyak IPT yang akan menerima geran penyelidikan seperti ini,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara IPT yang menerima geran penyelidikan daripada CBP adalah Politeknik Seberang Perai, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM).
Turut menerima Geran Penyelidikan tersebut adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan UNISHAMS.
Setiap IPT tersebut menerima geran penyelidikan sebanyak RM10,000 setiap IPT dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM120,000.00.