Video: Peserta Jepun Rangkul Juara PABM

PUTRAJAYA – Peserta dari Jepun, Lisa Shimazaki, 21, dinobatkan juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 kategori Antarabangsa, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

 

Beliau, memilih tajuk pidato ‘Bahasa Bukan Sekadar Alat Untuk Berkomunikasi, Bahasa Adalah Segala-galanya’     ‘ berjaya menambat hati para juri sekali gus menewaskan dua pesaing terdekat dalam pertandingan akhir  tadi.

 

Sementara itu,Ma Xiao, dari China hanya berpuas hati dengan tempat kedua manakala peserta  dari Uzbekistan, Rimajon Sotlikova diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori yang sama.

 

Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut merasmikan pertandingan tersebut.

 

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan isteri, Toh Puan Che Kamariah Zakaria.

 

Dalam pada itu, wakil Malaysia, Noor Haqim Noor Hamiddon, 21, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara bagi kategori Alam Melayu menerusi tajuk pidato ‘Pesan Seniman’.
Kemenangan itu sekali gus menewaskan rakan senegara, Shahrulnizam Md Roni, yang diumumkan sebagai tempat ketiga dan Ahmad Aidil Hadri Sa’dullah berada di tempat kedua.
Dalam pada itu, Abdul Matin pula diumumkan juara kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (Pam) diikuti AbdulRahman Khaled Hasan Saeed  (naib johan) dan di tempat ketiga ialah Hassan Radwan Jamal Elatrash.

 

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, piala Perdana Menteri, piala dan hadiah iringan serta sijil.

 

Naib johan memba­wa pulang hadiah wang tunai RM12,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil) manakala tempat ketiga menerima RM8,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil).

 

Seramai 53 peserta dari 36 buah negara mengambil bahagian dalam pertandingan PABM Piala Perdana Menteri 2016 yang bermula Isnin lalu, namun hanya sembilan peserta yang layak ke peringkat akhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.