Video: 7 Lelaki Tak Sempat Nikmati Hasil Rompakan RM3 Juta

KUALA LUMPUR – Hasrat sekumpulan tujuh lelaki menikmati hasil rompakan sebuah kedai emas di sebuah pusat beli belah di Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, pagi tadi, musnah selepas mereka diberkas jam 2 petang tadi.

Semua suspek diberkas hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan.

Dalam kejadian jam 11 pagi, sekumpulan empat lelaki bersenjata pistol dan penukul besi memakai topi keledar penutup penuh serta bersarung tangan hitam memecah masuk sebuah kedai emas di tingkat bawah pusat beli belah itu.

Suspek kemudian memecah rak kaca dan memasukkan barang kemas dalam beg pakaian manakala seorang suspek yang bersenjata pistol dipercayai melepaskan lima das tembakan ke arah pengawal keselamatan.

Mereka kemudian dilaporkan melarikan diri dengan sebuah kenderaan selain hasil rompakan berjumlah yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata polis menahan tujuh lelaki dipercayai suspek kes samun, di Kampung Lalang, Dengkil, Sepang.

Fadzil berkata, hasil maklumat orang awam membawa polis ke lokasi kejadian.

“Kita dapat menangkap tujuh lelaki, selain menemui sejumlah besar barangan emas, penukul dan senjata api,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.