Jurulatih Fisioterapi Suspek Kes Liwat Tiga Pelajar Ditemui Mati Gantung Diri

IPOH – Tiga pelajar berusia 13 dan 14 tahun membuat laporan polis Isnin lalu, mendakwa dicabul dan diliwat jurulatih fisioterapi pasukan bola sepak sekolah mereka di sini.

Bagaimanapun, suspek yang berusia 54 tahun ditemui mati dipercayai menggantung diri di sebuah bilik hotel di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee, berkata siasatan awal mendapati, dakwaan cabul dan liwat berlaku antara Mei 2016 hingga Mac tahun ini di rumah suspek dan bilik hotel.

Katanya, suspek masih bujang, sudah hampir 10 tahun bertugas sebagai jurulatih kecergasan di sekolah itu.

“Suspek akan memberikan sebiji pil kepada mangsa dengan alasan untuk membesarkan badan.

“Selepas menelan pil, mangsa menjadi separuh sedar dan suspek akan meliwat dan menghisap kemaluan mangsa.

“Sebaik selesai, mangsa dibawa untuk membeli barangan seperti telefon bimbit, kasut, seluar dan baju,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tian Kee berkata, kira-kira jam 5.40 petang Selasa lalu, polis menerima panggilan dari sebuah hotel di sini, tempat suspek menginap.

Suspek ditemui mati dipercayai menggantung diri dalam sebuah bilik di hotel itu, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, susulan laporan pelajar berkenaan, polis masih mengesan beberapa lagi rakan mereka yang turut dipercayai menjadi mangsa dalam kes berkenaan, namun bilangan sebenar mangsa masih dalam siasatan.

Katanya, kes membabitkan pelajar berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, manakala kematian suspek diklasifikasikan kes mati mengejut. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.