Pulau Pinang Bolot Carta Top 3 Projek Lebuhraya Paling Mahal Di Malaysia

Apabila siap kelak, Pan Island Link 1 (PIL 1), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu – Gurney Drive (LCU- Gurney Drive) dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu – Air Itam (LCU-Air Itam) – kesemuanya di Pulau Pinang – akan menjadi tiga projek lebuh raya paling mahal direkodkan dalam sejarah Malaysia.

Menurut Timbalan Pengarah Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC) Datuk Eric See-To, ketiga-tiga projek yang belum memulakan pembinaan itu mencatatkan kos lebih tinggi berbanding projek mega hampir sama di Lembah Klang.

Ujarnya, punca kepada projek ‘mahal’ di Pulau Pinang adalah disebabkan oleh prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) yang sering dilaungkan oleh kerajaan negeri.

“Letak tepi isu yuran rundingan bagi ‘kertas kerja’ yang 400% lebih mahal, nampaknya CAT sentiasa menyebabkan semua perkara menjadi mahal.

“Dua hari lalu, kita dikejutkan apabila YB Exco Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) mendedahkan bahawa kos pembinaan Penang Iland Link 1 (PIL-1) sepanjang 19.5km adalah RM7.5 bilion – bersamaan RM385 juta per km.

“YB Chow sekali lagi mengesahkan kos berkenaan didalam kenyataan berasingan pada hari ini (semalam) dan tidak membantah kos pembinaan dengan harga RM385 juta per km.

“Dia hanya jelaskan bahawa kosnya mahal kerana lebuhraya itu rumit dan dibina untuk meminimakan kesulitan rakyat,” kata Eric dipetik satu kenyataan, lewat malam tadi.

Lebuhraya LCU- Gurney Drive dan LCU-Air Itam merupakan dua daripada tiga projek lebuhraya yang akan menghubungkan tanah besar projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang masih belum dimulakan lagi tetapi pembayaran penuh kajian kebolehlaksanaan sudah dibayar oleh kerajaan negeri kepada syarikat konsesi, CZBUCG.

Kata Eric, Lebuhraya LCU-Gurney Drive (4km) dan LCU-Air Itam (5.7km) masing-masing menelan belanja pembinaan RM800 juta dan RM897 juta, atau RM200 juta dan RM157 juta per km.

Membandingkan dengan projek lebuhraya di Lembah Klang, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE) sepanjang 59km bernilai RM5.3 bilion atau RM90 juta per km.

“Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) 47km bernilai RM4.2 bilion – atau RM89 juta per km.

“Sementara Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) sepanjang 36km adalah RM1.6 bilion – atau RM43 juta per km.

DUKE 3 atau nama barunya Lebuhraya Setiawangsa Pantai adalah RM.74 bagi 35km – RM107 juta per km.

“Manakala DUKE2A yang berkepanjangan 72.5km menghubungkan Kuala Lumpur ke Kapar menelan belanja RM6.32 bilion – atau RM84 per km,” ujarnya memberi contoh.

Katanya, CAT yang dipraktiskan Pulau Pinang kononnya untuk menunjukkan bahawa kerajaan negeri telus telah menyebabkan kos ‘kertas kerja’ dan kos pembinaan meningkat berlipat kali ganda. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.