Kerajaan Peruntuk RM308 Juta Biaya 2.2 Juta Dekoder Percuma

Kerajaan memperuntuk RM308 juta bagi menyediakan 2.2 juta set dekoder percuma kepada golongan berpendapatan rendah untuk menikmati perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sebanyak dua juta dekoder lagi akan dibiayai MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV), iaitu syarikat yang dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT dengan anggaran peruntukan RM280 juta.

Ia menjawab pertanyaan Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang ingin tahu peruntukan yang diberikan kepada MYTV untuk mengedarkan 4.2 juta dekoder kepada penerima BR1M.

Pada 6 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian 4.2 juta dekoder percuma kepada mereka yang layak termasuk penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi membolehkan pengguna menikmati Siaran Digital myFreeview percuma tanpa yuran bulanan.

 

Najib dalam ucapannya itu berkata pengagihan dekoder itu antara lain adalah bagi mempercepatkan proses migrasi daripada analog ke digital.

Menurut kementerian, MYTV telah dilantik kerajaan sebagai pengedar tunggal dekoder di Malaysia setelah mengambil kira aspek seperti perkhidmatan dan sokongan selepas jualan, penguatkuasaan terhadap dekoder yang tidak melalui proses pensijilan dan pemerakuan oleh SIRIM serta menaik taraf perkhidmatan televisyen digital pada masa akan datang.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.