Kecoh Di PWTC: IGP Ingatkan Kita Bukan Budak-Budak

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kekecohan yang berlaku akibat pertembungan Pemuda Umno dan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) di PWTC pada Selasa lalu adalah “perkara remeh” dan memalukan.

Beliau juga memberitahu wartawan di Bukit Aman bahawa sekurang-kurangnya 11 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan polis mengenai kejadian itu.

“Biarlah polis siasat dulu. Perkara kecoh-kecoh macam itu perkara remehlah,” katanya selepas menghadiri perjumpaan bulanan polis.

Disoal mengenai maklumat lanjut tentang individu yang ditahan itu, Khalid berkata, tidak perlu bagi beliau memberikan nama mereka.

Pada masa sama, ketua polis negara itu menasihatkan semua pihak supaya menunjukkan kedewasaan mereka.

“Kita semua orang dewasa bukan budak-budak lagi…. kena tunjukkan kedewasaan kita.

“Terlibat dalam kecoh macam itu pada saya memalukanlah,” katanya.

Dalam kejadian itu, kira-kira 30 anggota ARMADA yang pada awalnya berarak dari Pusat Membeli Belah Sunway Putra menuju ke PWTC bagi menyampaikan jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0 dihalang oleh kira-kira 100 Pemuda Umno hingga menyebabkan kejadian tolak-menolak..

Polis kemudian mengarahkan kedua-dua kumpulan itu bersurai dan anggota ARAMADA kemudiannya membuat laporan di ibu pejabat daerah Dang Wangi.

Exconya, Ashraf Mustaqim Badrul Munir juga mendakwa bahawa dirinya ditumbuk semasa kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Khalid enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai seorang lelaki yang ditangkap kerana didakwa mengancam peguam Siti Kasim.

“Tunggu dia didakwa, jika dia (akan) didakwa,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai penangkapan itu.-Malaysiakini

 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh semalam mengesahkan penangkapan berkenaan dan berkata lelaki itu telah direman selama tiga hari.

Siti sebelum ini membuat laporan polis berhubung dakwaan ancaman bunuh dan rogol yang diterimanya melalui media sosial berikutan artikel mengenai sokongannya terhadap komuniti lesbian, gay, transgender dan biseksual.

Beliau berkata terdapat juga ugutan untuk memenggal kepalanya dan menyimbahnya dengan asid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.