Jerebu Semakin Merebak Di Indonesia

MEULABOH, Indonesia – Asap jerebu akibat kebakaran hutan di wilayah Aceh, Pulau Sumatera, memaksa berpuluh-puluh orang termasuk kanak-kanak mendapatkan rawatan di hospital kerana jangkitan paru-paru.

Menurut AFP, sebahagian kanak-kanak di Meulaboh terpaksa ke sekolah dengan memakai topeng hidung dan mulut semalam tetapi beberapa buah sekolah ditutup akibat jerebu.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) berkata, sekitar 35 titik panas telah memusnahkan hutan dan tanah lain seluas 70 hektar di Aceh sejak seminggu lalu.

“Kebakaran hutan dan tanah ini disebabkan oleh perbuatan penduduk membersihkan tanah pertanian menggunakan kaedah tebang dan bakar.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengawasi tanah mereka dan tidak melakukan pembakaran memandangkan musim kering mengakibatkan api mudah merebak,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, lapor Kosmo.

Pihak berkuasa masih berusaha untuk memadamkan kebakaran itu dan memberi amaran, ancaman kebakaran hutan dijangka berterusan selama beberapa bulan lagi sepanjang musim kering.

Kebakaran hutan di Indonesia tertumpu di Pulau Sumatera dan wilayah Kalimantan dengan angin monsun meniup jerebu ke arah negara jirannya, Malaysia serta Singapura.

Setakat ini, terdapat kira-kira 180 titik panas atau kebakaran hutan di sekitar enam wilayah di Indonesia.

Jumlah itu bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding tahun 2015 apabila jerebu melanda sebahagian besar rantau ini sehingga menyebabkan ramai orang jatuh sakit di samping mencetuskan ketegangan diplomatik antara Indonesia dan jirannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.