Bencana Alam Hantui Tokyo 2020

Dalam penganjuran Sukan Olimpik moden, ancaman keganasan dan krisis kewangan lazimnya menjadi dua perkara yang diberi perhatian oleh negara tuan rumah.

Menurut AFP, berbeza pula dengan dilema Jepun selaku penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 (Tokyo 2020) yang dihantui insiden gempa bumi dan tsunami dahsyat.

Justeru, negara Matahari Terbit itu berusaha menyakinkan para atlet dan pengunjung yang bakal membanjiri temasya sukan tersebut bermula 24 Julai 2020 bahawa keselamatan mereka menjadi keutamaan penganjur, lapor Kosmo.

Tokyo dan kawasan sekitarnya terletak di titik pertemuan plat-plat tektonik. Secara teori, pergerakan plat-plat tersebut pada dua titik fokus atau lebih diramal boleh menyebabkan gempa sekuat 7.3 pada skala Richter.

Kali terakhir Tokyo dilanda gempa bumi besar adalah pada 1923, pada skala 7.9 pada skala Richter mengorbankan lebih 100,000 nyawa dengan kebanyakannya maut akibat kebakaran.

Pada 11 Mac 2011, gempa bumi dengan magnitud 9.0 pada skala Richter berserta tsunami menggegar Jepun menyebabkan 18,500 orang terbunuh di samping pusat loji kuasa nuklear di Fukushima, utara Tokyo musnah.

Bencana itu menyebabkan jutaan penduduk Tokyo berdepan masalah terputus bekalan tenaga dan laluan pengangkutan.

Ketua Pusat Penyelidikan Ramalan Gempa Universiti Tokyo, Naoshi Hirata berpendapat, keupayaan Jepun menjayakan Tokyo 2020 akan lumpuh jika kejadian gempa berlaku sebelum acara berprestij itu berlangsung.

“Ia mungkin boleh menjadi cukup serius sehingga merencatkan ekonomi Jepun daripada berfungsi dengan betul. Kami juga mempunyai pilihan terhad untuk mencari tuan rumah alternatif sebagai pengganti,” ujarnya.

Menurut tinjauan yang dijalankan firma insurans Swiss Re, Tokyo dan bandar jirannya, Yokohama mendahului senarai kota metropolitan berisiko menghadapi gempa bumi atau tsunami.

Piawaian ketat

Pengelola Tokyo 2020 menegaskan bahawa fasiliti yang disediakan memenuhi piawaian ketat binaan bangunan tahan gempa di negara tersebut.

“Jika ditakdirkan gempa bumi berlaku, saya tidak dapat memikirkan bandar mana akan selamat. Bagaimanapun, Tokyo adalah salah satu bandar terbaik dalam membuat persediaan bencana alam,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Tokyo 2020, Toshiro Muto.

Kebanyakan binaan di negara itu diperkukuhkan dengan teknologi penyerap kejutan terbaik. Sebagai contoh, Arena Ariake yang dibina pada kos AS$230 juta (RM983 juta) akan menjadi venue perlawanan bola tampar dilengkapi kusyen getah gergasi.

“Negara Jepun terdedah kepada gempa bumi. Namun, standard bangunan di negara kami adalah paling ketat di dunia.

“Kami akan melakukan apa sahaja untuk melindungi orang ramai di Tokyo sekiranya berlaku gempa besar,” tutur seorang pegawai kerajaan Tokyo yang bertanggungjawab terhadap kemudahan Olimpik, Satoru Sunada.

Tambahnya, kemudahan tepi laut termasuk perkampungan Olimpik dibina di atas benteng yang tinggi dan cukup untuk menahan gelombang tsunami setinggi dua meter. Ia adalah paras maksimum seperti diramalkan pakar.

Begitupun, penyelidik tsunami dari Institut Penyelidikan Pelabuhan dan Lapangan Terbang, Kojiro Suzuki berkata, langkah pencegahan dan strategi yang digariskan mempunyai kekangan tersendiri.

“Kerosakan yang berlaku mungkin melebihi jangkaan rakyat. Kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada tembok pemecah ombak. Pemindahan adalah lebih penting,” ujarnya.

Seorang profesor bersara yang merupakan pakar terkemuka kajian gempa dan gunung berapi dari Universiti Tokyo pula berkata, individu yang tidak biasa berdepan dengan situasi gempa boleh menjadi panik biarpun ia sekadar gegaran kecil.

Susulan itu, kerajaan Tokyo sibuk menyediakan manual pemindahan dalam pelbagai bahasa untuk kemudahan pelawat Olimpik dari luar negara. Selain itu, latihan kesedaran bencana telah dimulakan lebih awal.

Ia merangkumi sistem simulasi gempa yang meniru suasana gegaran di samping latihan mengarahkan orang untuk mencari perlindungan dan apa yang perlu dilakukan ketika bencana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.