7 Ditahan Bantu Siasatan Kes Rogol 2 Pembantu Taska

Tujuh suspek termasuk seorang wanita berusia 45 tahun ditahan pagi tadi untuk membantu siasatan kes rogol dua pembantu taska dalam kejadian di Pandan Indah, 14 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, dua mangsa berkenaan dirogol sebelum disimbah cecair peluntur di seluruh badan.

“Dalam kejadian pada 4 pagi itu, dua lelaki memecah masuk taska sebelum merogol dua wanita yang juga pembantu taska.

“Mangsa dirogol dan disimbah cecair peluntur kononnya untuk menghilangkan bukti sebelum suspek melarikan diri bersama televisyen dan telefon milik mangsa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Fadzil berkata demikian selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang, di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor, bekas Ketua Polis Daerah Kajang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan dan Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Fadzil berkata, hasil siasatan berjaya menahan tujuh suspek warga tempatan berusia antara 27 hingga 45 tahun dalam serbuan bermula 5 petang dan berakhir 5 pagi tadi di sekitar Ampang Jaya.

“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan di Sungai Petani, semalam selepas memperkosa cucu saudara yang juga anak angkatnya berusia 14 tahun sehingga mengandung enam bulan.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, suspek, 54, yang juga pekerja kontrak ditahan polis susulan laporan dibuat ibu mangsa.

Menurutnya, mangsa berada di bawah jagaan suspek sejak berusia sembilan tahun dan mendakwa dirogol lelaki itu, Disember lalu ketika mereka bersendirian di rumah keluarga angkatnya itu di Sungai Petani.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.