256 Polis Ditempatkan Di Mahkamah Shah Alam Esok, Sebutan Kes Bunuh Kim Jong-nam

SHAH ALAM – Seramai 256 pegawai dan anggota ditempatkan di sekitar kawasan perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini susulan sebutan kes pembunuhan pemimpin Korea Utara dalam buangan, Kim Jong-nam, esok kata Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Nek Zaidi Zakaria.

Beliau berkata, selain pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, turut menyertai Op Prank itu adalah anggota daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Polis akan mengadakan taklimat terlebih dahulu sebelum kes berjalan. Kes akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin,” katanya seperti memetik laporan Kosmo.

Sebelum ini, seorang wanita warganegara Indonesia Siti Aisyah, 25 dan seorang wanita warganegara Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukumen mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Majistret Sepang memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan permohonan oleh Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.