Video: Warga Felda Bersatu Jadi Kuasa Ekonomi, Politik – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu seluruh warga Felda menggembleng tenaga, aset dan rangkaian sedia ada bagi meraih kejayaan yang lebih besar dan membela nasib peneroka sehingga generasi akan datang.

 

Najib yang juga menteri kewangan berkata matlamat asas penubuhan Felda yang dicapai dengan cemerlang, juga perlu dinikmati generasi kedua dan ketiga komuniti Felda.

 

Untuk mencapai kejayaan itu, beliau berkata Felda perlu menggunakan segala kekuatan termasuk aset manusia dan rangkaian bagi mencapai kejayaan serta membuka peluang lebih luas kepada generasi akan datang.

 

“Saya mahu Felda menjadi sebuah kuasa besar ekonomi dan politik yang akan terus membela nasib peneroka sehingga generasi akan datang. Kedua-dua ini serampang dua mata bagi menjamin kelangsungan Felda.

 

“Bagi mencapai hasrat itu, komuniti Felda perlu bekerjasama sesama mereka dan di luar Felda bagi membina rangkaian dalam kalangan golongan profesional, usahawan dan yang berjaya dalam lapangan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis Salam Perantauan Warga Felda 2016, di sini hari ini.

 

 

Sehubungan itu, Najib turut menggesa warga Felda untuk terus menjamin mobiliti sosial di negara ini, selain meningkatkan pendapatan di kawasan luar bandar, memberikan tanah kepada mereka yang tidak mempunyai tanah serta membasmi kemiskinan.

 

“Mobiliti sosial juga membolehkan 50,000 peneroka berpindah ke Lembah Klang dan bilangan yang boleh menjadi lebih tinggi,” katanya.

 

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 Pengerusi Kluster Gabungan Pemikir Profesional Felda (GAPROF).

 

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, beliau berharap mereka akan bekerja dengan semangat dan penuh tenaga untuk menjayakan matlamat Felda mencapai hasrat kuasa besar ekonomi dan politik.

 

“Diharap lantikan itu juga dapat menjamin mobiliti sosial yang menjadi lebih ketara di dalam komuniti Felda. Dengan harapan ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan teruskan perjuangan kita.

 

“Insya-Allah, kita harap dapat capai cita-cita dan impian untuk Felda dan negara kita secara keseluruhan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.