Pemborong Haram Ayam Dipantau

GUA MUSANG – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri ini akan memantau kegiatan pemborong haram yang menjual ayam kepada peruncit di negeri ini.

 
Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihaknya mengenal pasti kewujudan pemborong yang tidak mempunyai lesen dan akan mengambil tindakan susulan selepas ini.

 

Beliau berkata, kewujudan pemborong haram itu sedikit sebanyak menyebabkan harga ayam di negeri ini melambung tinggi ketika musim perayaan baru-baru ini.

 

“Pada minggu depan, kita akan mengetahui siapa terlibat kerana kita mewujudkan senarai pemborong yang berdaftar dengan KPDNKK.

 

“Kami berharap pemborong yang tiada lesen itu supaya menghentikan kegiatan mereka dan mendaftar dengan kita agar pengawalan senang dilakukan,” katanya.

 

Beliau ditemui pemberita selepas melawat ladang ayam terbesar milik bumiputera, Lepan Jaya Farm Sdn. Bhd. bersama Pengarah Urusannya, Kamarul Azli Mat Ali di Kampung Lepan Jaya, di sini, semalam.

 

Ab. Ghani berkata, pihaknya juga akan memanggil semua pemborong di negeri ini dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai masalah harga ayam untuk Hari Raya Aidiladha nanti.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu masalah memanipulasi harga ayam sehingga RM30 seekor pada Hari Raya Aidilfitri lalu berulang di negeri ini.

 

“Kita nak ambil satu pendekatan untuk menjaga kebajikan pengguna. Saya berharap orang ramai membantu menyalurkan maklumat di daerah masing-masing agar kita dapat membuat siasatan serta tindakan segera,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, dalam lawatan tersebut, pihak­nya membuat satu perjumpaan bagi menyelesaikan masalah yang dialami oleh pemborong.

 

“Pada hari ini pemborong yang sudah beroperasi selama 15 tahun di sini berhadapan dengan masalah untuk mendapat bekalan anak ayam, kenaikan harga anak ayam yang tidak menentu dan harga makanan ayam yang mahal.

 

“Mereka mengatakan untuk musim raya haji ini, mereka mengalami kekurangan bekalan ayam tetapi akan menyelesaikan masalah dengan mengambil bekalan ayam dari kawasan luar.

 

Tambahnya, KPDNKK akan membantu menyelesaikan tersebut dengan membantu mendapatkan bekalan kira-kira 20,000 ekor anak ayam untuk ladang tersebut.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.