MH370: Tiada bukti juruterbang cuba bunuh diri

PUTRAJAYA – Malaysia tidak mempunyai sebarang bukti berhubung spekulasi mengenai penglibatan juruterbang pesawat ‎MH370 dalam cubaan membunuh atau bunuh diri, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

 

Ketika diminta mengulas laporan media berdasarkan “data yang bocor” dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Tiong Lai berkata: “Seperti yang anda semua maklum, semua bukti yang dikumpulkan oleh FBI tidak diserahkan kepada pasukan penyiasat Malaysia. Kami tidak mempunyai semua bukti.”

 

Beliau berkata, siasatan mengenai kehilangan pesawat itu masih berterusan.

 

“Kami menyerahkan kepada pasukan penyiasat untuk mengenal pasti apa-apa bukti yang mereka ada,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai janji niaga antara Malaysia Airlines dan Boeing untuk pembelian 50 buah pesawat Boeing 737 MAX di sini hari ini.

 

MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari imbasan radar sejurus setelah berlepas dari Kuala Lumpur dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

 

Pesawat Boeing 777-200ER itu belum dijumpai walaupun operasi pencarian besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi yang dipercayai tempat bersemadinya pesawat itu selepas melencong dari laluan asalnya.

 

Tiga negara – Malaysia, China dan Australia – bersetuju untuk menggantung tetapi tidak menamatkan operasi mencari pesawat malang itu selepas misi pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi selesai.

 

Majalah antarabangsa, New York dalam artikelnya menarik perhatian kepada laporan FBI yang bocor yang mendakwa Kapten Zaharie Ahmad Shah menggunakan simulator kurang sebulan sebelum kehilangan pesawat untuk latihan penerbangan merentasi selatan Lautan Hindi hyang menyerupai laluan MH370.

 

Tiong Lai merayu kepada mereka yang mempunyai bukti berhubung MH370 supaya menyerahkannya kepada pasukan penyiasat.

 

“Kami tidak mempunyai bukti, jika anda mempunyai bukti, saya meminta supaya menyerahkannya kepada pasukan penyiasat,” kata beliau. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.