Konspirasi: Bukit Aman akan panggil Khairul Azwan

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berhubung laporan polis dibuatnya mengenai dakwaan wujud konspirasi pihak tertentu untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Khairul Azwan akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung laporannya itu.

 

“Kita akan memanggil Khairul Azwan bila-bila masa,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp di sini, hari ini.

 

Semalam, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap bekas peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

 

 

Dalam laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam, Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga mereka dipercayai terbabit dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.

 

Susulan itu, semalam Gani menyifatkan dakwaan beliau terbabit dalam konspirasi itu, hanyalah muslihat pihak tertentu untuk mencari publisiti.

 

Sementara itu, Abu Kassim yang menghadiri program Bual Bicara Integriti di Institut Integriti Malaysia, di sini, hari ini, enggan bertemu wakil media.

 

Beliau dilihat meninggalkan majlis itu kira-kira 10.30 pagi selepas sejam setengah program itu berlangsung, yang diturut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

 

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Pemuda Umno Johor menegaskan bahawa mereka memandang serius dakwaan yang dibuat Khairul Azwan dan mahu pihak berkuasa segera membuat siasatan.

 

“Kami percaya saudara Khairul mempunyai asas yang kukuh sebelum membuat laporan polis tersebut.

 

“Oleh itu, kami mendesak pihak bertanggungjawab khususnya polis supaya melakukan penyiasatan segera bagi membuktikan kebenarannya,” kata Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim dalam kenyataan di sini, hari ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.