Dulu Dr Mahathir Tentang Media Asing, Sekarang Minta Belas Ehsan – Nazri

KUALA LUMPUR – Bukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengganggu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mereka yang ada kaitan dengannya.

 

“Ia sebaliknya,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz.

 

Bercakap kepada FMT, Nazri berkata sepanjang setahun setengah lalu, Dr Mahathir tidak henti-henti mengganggu Najib dan keluarganya, sehinggakan negarawan itu terpaksa melanggar kata-katanya sendiri dengan mendapatkan bantuan daripada media asing.

 

“Saya ingat masa beliau (Dr Mahathir) jadi perdana menteri. Beliau sangat menentang media asing kerana pada masa itu mereka serang beliau.

 

“(Dulu) beliau juga marah mereka (media asing) kerana masuk campur urusan dalaman Malaysia.

 

“Sekarang beliau pula minta belas daripada media asing untuk membantunya,” kata Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan.

 

Beliau berkata demikian susulan laporan Dr Mahathir di Jakarta semalam, yang mendakwa beliau, keluarga dan rakannya diganggu agensi kerajaan.

 

Dr Mahathir juga berkata gangguan itu termasuk lawatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, adalah cubaan untuk menekannya supaya berhenti mengkritik Najib.

 

Mengulas perkara itu, Nazri mempersoalkan adakah Dr Mahathir ada banyak benda hendak dirahsiakan, dan takut rahsianya terbongkar.

 

“Saya fikir jika anda tinggal dalam rumah kaca, anda tidak sepatutnya membaling batu pada orang lain.

 

“Orang ini keliru, dan berdendam. Tetapi saya pasti beliau tidak dapat mempengaruhi masyarakat kerana orang ramai sekarang tahu siapa beliau sebenarnya,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.