Dua Doktor Palsukan Dokumen Permohonan JPJ Didenda RM10,000

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM10,000 atau penjara enam tahun jika gagal membayar denda terhadap dua pengamal perubatan selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah kerana melakukan pemalsuan dokumen.

 

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup. Mereka sebelum ini minta dibicarakan selepas dihadapkan ke mahkamah pada 5 Januari lalu.

 

Dr Phuah Chye Thuang, 62; dan Dr Fong Hon Pin@Poon Hon Pin, 68; sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Kesalahan didakwa dilakukan pada 7 Mac 2013 bagi menyokong tuntutan beberapa individu ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharui lesen kelas D mereka.

 

Chye Thuang didakwa melakukan perbuatan itu bagi penama Mohd Firdaues Azizan di Klinik Phuah, No 98 Jalan Takong Datoh, Gerik, manakala Hon Pin, bagi penama S Suppiah Thevar di Klinik Simee, 506 Lebuhraya 3, Kampung Simee, di sini.

 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin. Chye Thuang diwakili peguam N Sakthivel mananakala Hon Pin diwakili peguam, Meor Shaazizi Meor Shaari. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.