Drone Jadi Kegilaan Remaja

Kebelakangan ini, Drone menjadi kegilaan tambahan pula bagi golongan muda khususnya penggemar teknologi baharu yang sentiasa mahukan sesuatu yang terkini.

 

Terdapat beberapa trend baharu menjadi ikutan dan tarikan apabila penggemar Drone mengambil gambar atau video dari sudut jauh atau tinggi yang kelihatan seperti mengambil gambar dari langit.

 

Dengan harga yang berpatutan, Drone juga dapat dimiliki di kedai-kedai mahupun secara atas talian (online) yang menawarkan barangan berteknologi tinggi itu.

 

Fungsi pesawat kawalan jauh yang dikenali sebagai kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) ini pada asasnya dikawal dari jarak jauh atau boleh terbang secara autonomi melalui sistem perisian kawalan penerbangan yang bekerjasama dengan GPS.

 

Bagaimanapun, UAV dahulunya sering dikaitkan dengan tentera tetapi mereka juga menggunakan drone untuk mencari dan menyelamat, pengawasan, pemantauan trafik, pemantauan cuaca dan memadam kebakaran.

 

Memetik laporan Sinar, Amirul Aizad Amiruddin, 21, berkata, dia sangat meminati drone kerana ia menjanjikan kepuasan seperti seorang juruterbang.

 

Katanya, jika dahulu dia mempunyai 30 unit drone yang  dikumpul sejak tahun lalu tetapi kini dia hanya mempunyai dua drone kerana selebihnya dijual kepada rakan-rakan yang inginkan drone terpakai.

 

“Kebanyakan drone saya beli di sekitar Kuala Lumpur dan ada juga yang dari China,” katanya yang juga turut menjual drone secara online menerusi Quadtech Official.

 

Seorang lagi peminat drone, Sofyan Rizal Ishak berkata, dia membeli drone selepas melihat orang lain membelinya.

 

“Saya beli sebab tengok orang lain beli, tengok macam seronok pula main lagipun harganya murah.

 

“Saya beli di Nanning, China, kebetulan ada kerja di sana, dengan harga RM150 seunit,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun masih baru dan tidak pernah menggunakan drone sebelum ini tetapi dia mengakui ianya senang digunakan.

 

Katanya, dia biasanya hanya menggunakan drone untuk bermain bersama anaknya di kawasan lapang mahupun di kampung untuk suka-suka.

 

 

Penjual drone menerusi laman sosial Instagram, DroneKlang, Syamim Haikal Mat Wahid, 22, berkata, dia mula berkecimpung dalam perniagaan drone ini selepas melihat potensi pasaran yang luas dan permintaan yang tinggi.

 

Sebelum melibatkan diri dengan menjual drone, Syamim merupakan antara peminat drone dan kini mempunyai beberapa jenis drone.

 

“Melihat trend yang semakin luas ini, saya mula menjual drone secara dropship sebelum berniaga sendiri dengan modal permulaan yang rendah sebanyak RM700.

 

“Saya harap trend drone akan kekal lama di dalam pasaran kerana jualannya sangat menggalakkan kebelakangan ini.

 

 

Mengulas lanjut berhubung kegunaan drone, Syamim berkata, biasanya drone digunakan untuk merakamkan video bagi majlis perkahwinan, pertandingan mahupun bermain setakat suka-suka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.