Bekalan Elektrik Di Pedalaman Sabah Kembali Pulih

KENINGAU – Bekalan elektrik di pedalaman Sabah yang terjejas akibat kebakaran di Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, kelmarin, dilaporkan pulih sepenuhnya.

 

Bekalan elektrik yang terjejas di sekitar Tenom, Keningau dan Tambunan dipulihkan secara berperingkat mulai jam 9.40 malam hari yang sama.

 

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Muhamad Nazri Pazil, berkata bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada jam 10.20 malam hari sama.

 

SESB merakamkan terima kasih kepada pasukan bomba atas bantuan yang diberi untuk memadamkan kebakaran.

 

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang menyebabkan kerosakan pada satu turbin jana kuasa elektrik di bangunan utama stesen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Pengguna dinasihatkan menghubungi talian Hotline SESB di 15454 sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik supaya tindakan pemulihan dapat diambil.

 

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari kelmarin, sebuah turbin hidro di bangunan utama Stesen Jana kuasa Hidro Tenom Pangi, terbakar.

 

Kebakaran menyebabkan empat individu termasuk dua wanita melecur selain gangguan bekalan elektrik kepada pengguna di sekitar Tenom, Keningau dan Tambunan.  – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.