Arab Saudi Tawar Biasiswa Kepada 100 Pelajar Malaysia

AMPANG – Kerajaan Arab Saudi menawarkan biasiswa penuh kepada 100 pelajar lelaki Malaysia untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Imam Mohamed Bin Saud, Riyadh.

 

Atase Budaya, Kedutaan Diraja Arab Saudi di Malaysia, Prof Dr Zayed Ojair Al- Harethi, berkata permohonan dibuka sekarang sehingga 7 Ogos ini dan temu duga pada 8 Ogos ini.

 

“Mereka yang berjaya dalam temu duga itu akan memulakan pengajian pada September atau Oktober depan.

 

“Program biasiswa ini diadakan secara berterusan dan akan dibuka kepada pelajar wanita serta universiti lain di Arab Saudi pada masa depan,” katanya pada sidang media di Misi Budaya Kedutaan Diraja Arab Saudi, di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusof.

 

Zayed berkata, syarat untuk mengikuti pengajian peringkat diploma dan sarjana muda adalah berusia 17 tahun hingga 24 tahun, peringkat sarjana 24 tahun hingga 30 tahun dan PhD berusia 30 tahun hingga 35 tahun.

 

“Antara kemudahan disediakan adalah elaun bulanan, perumahan percuma dan insurans perubatan dari pusat perubatan universiti berkenaan,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.